Diskaun pembayaran bil elektrik bagi sepanjang bulan April hingga September 2020 telah dilanjutkan kepada 31 Disember 2020 ini bagi seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, 7.66 juta pengguna domestik di semenanjung akan terus menikmati diskaun bil elektrik di antara dua hingga 50 peratus dari 1 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020 sebagai lanjutan kepada diskaun elektrik yang diumumkan 27 Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Lapor Harian Metro.
“Pelanjutan ini turut terpakai bagi pengguna elektrik dengan penggunaan di antara 601 hingga 900kWj yang mula mendapat diskaun 10 peratus di bawah Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diumumkan kerajaan pada 20 Jun,” katanya.
Tambahnya lagi, pengguna domestik di Sabah dan Sarawak pula akan terus menerima diskaun bil elektrik sebanyak dua peratus sehingga 31 Disember 2020.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun bil elektrik bermula April 2020 hingga September 2020 kepada pengguna di seluruh negara.
Ia bersempena dengan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.
Baca : 8 Perkara Ini Menjadi Sebab Kenapa Bil Elektrik Naik Mencanak Pada Musim PKP