Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang dikeluarkan ketika berucap di Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada 18 Mac lepas.
Menurut Astro AWANI, kenyataan itu didakwa menyentuh sikap seorang bekas pemimpin yang dilihat mengeluh dengan sikap orang Melayu dan mendakwa mereka tertindas di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Sungguhpun tidak menyebut siapa individu itu, Anwar hanya memberi gambaran bahawa ‘beliau’ pernah mentadbir selama ’22 tahun dan 22 bulan’.
Kenyataan PM yang juga merangkap Presiden PKR ini turut mendakwa individu tersebut telah membolot harta bagi keluarga dan anak-anaknya.
Dr M beri Anwar masa 7 hari tarik balik kenyataan
Susulan kenyataan berkenaan, bekas PM tersebut telah memberi tempoh 7 hari kepada Anwar untuk menarik balik kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah.
Notis tuntutan juga telah dibuat semalam yang menuntut Anwar menarik balik kenyataan dan sekiranya tidak berbuat demikian, Tun Mahathir akan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Saya beri masa tujuh hari untuk Anwar tarik balik dan lakukan beberapa perkara untuk menunjukkan bahawa dia tidak percaya kepada apa yang disebutkannya.
“Dalam tempoh tujuh hari (jika) dia tak jawab, maka saya bebas untuk ambil tindakan lain,” jelas Tun Mahathir.
"Tetapi, jika dalam tujuh hari dia (Anwar) tidak jawab balik, maka saya bebas untuk mengambil tindakan-tindakan yang lain," tegas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad [ @chedetofficial ].#AWANInews pic.twitter.com/W0UC1qb0DB
— Astro AWANI (@501Awani) March 28, 2023
Tambahnya lagi, kenyataan fitnah berkenaan telah memberi kesan buruk kepadanya seolah-olah beliau telah melakukan banyak kerosakan semasa pentadbirannya.
Tun M juga berkata, sebagai seorang PM yang bertanggungjawab, Anwar tidak patut membuat tuduhan tanpa bukti yang kukuh.
Ini memberi gambaran buruk terhadap diri saya. Ia merupakan fitnah melainkan dia dapat menunjukkan bukti bahawa saya ada berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara serta tidak membayar cukai.
“Sekarang dia PM. Seorang PM mempunyai tanggungjawab, tidak boleh buat tuduhan begitu saja.
“Sebab itu, hari ini saya buat keputusan untuk tuntut dia tarik balik fitnah yang dilempar terhadap diri saya,” katanya lagi.
Baca: Tun M Dakwa Orang Melayu Jadi Miskin Lepas Beliau Dah Tak Jadi PM

