Menepati ramalan orang ramai, filem animasi Mechamato Movie terbitan bersama MONSTA dan Astro Shaw yang sedang hangat ditayangkan ketika ini telah berjaya mengutip sebanyak RM10 juta dalam masa 6 hari tayangannya di pawagam tempatan.
Bagaimanapun, dalam kegembiraan melihat sebuah lagi filem animasi tempatan bakal menjadi fenomena dalam industri perfileman Malaysia, dikhabarkan bahawa waktu tayangan filem tersebut telah dikurangkan untuk memberikan laluan kepada filem antarabangsa iaitu Avatar 2.
Ketua Pengarah MONSTA, Nizam Abd Razak memuat naik sebuah hantaran di Facebook miliknya, meluahkan kekecewaan terhadap situasi yang berlaku.
Menerusi hantaran tersebut, Nizam mendapati bahawa tayangan filem Mechamato Movie tiada pada waktu malam selepas beliau membuat tinjauan keadaan di pawagam baru-baru ini.
Ia difahamkan beberapa pawagam telah memberi ruang kepada filem Avatar 2 yang baru sahaja ditayangkan di Malaysia dalam minggu ini.
“Rabu malam saya sempat meninjau keadaan di pawagam sebelum bertolak ke Umrah. Tayangan Mechamato Movie tiada waktu malam. Hanya Avatar sahaja yang ada. Memang banyak show untuk Avatar.”
Tambahnya, ada beberapa buah keluarga terpaksa memilih filem lain setelah melihat tiada waktu tayangan untuk filem Mechamato Movie pada waktu malam.
“Opportunity loss dan saya rasa peluang untuk keluarga tersebut pergi menonton Mechamato Movie agak tipis. Bukan murah untuk tempah tiket untuk keluarga seramai 5-7 orang.
“Saya berharap filem tempatan diberikan peluang. Bukan tiada demand. Kami hanya perlu diberi peluang sama rata untuk bersaing,” luahnya.
Menerjah di ruangan komen, rata-ratanya turut kecewa dengan tindakan pihak pawagam mengurangkan tayangan filem tempatan untuk memberi laluan kepada kemasukan filem luar negara.
Netizen ajak #Supportlokal
Perkara tersebut turut mendapat reaksi pengulas filem tempatan, ZhafVlog yang melihat situasi ini sebagai satu ancaman kepada filem tempatan kerana ‘dianaktirikan’ oleh pawagam di negara sendiri.
ANCAMAN FILEM LUAR NEGARA UNTUK MECHAMATO
Walaupun Mechamato berjaya kutip 10juta dalam masa 6 hari, kini mereka diancam dgn keluarnya filem Avatar 2. Seperti biasa, filem tempatan dianak-tirikan oleh panggung wayang tempatan. Showtime #MechamatoMovie telah cut down sehingga… pic.twitter.com/2qyNgw6dHW
— #ZHAFVLOG (@zhafvlog) December 15, 2022
Melihat situasi yang juga tidak boleh meletakkan seluruh kesalahan terhadap pihak pawagam, netizen telah mengajak orang ramai untuk terus menerus menyokong filem animasi tempatan yang sedang ditayangkan pada ketika ini.
Dengan cara ini sahaja, kita boleh menaikkan lagi kejayaan filem keluaran tempatan sekali gus dapat menaikkan taraf filem ke peringkat antarabangsa.
Baca: Banyak Negara Islam Tolak Watak Yaya Bertudung, Ini Pendedahan Oleh Pencipta BoBoiBoy