in

“Dia start kacau umur 4 tahun” – Lelaki Kongsi Kisah Saka Arwah Atuk Menangis Cari Tuan Baru

Hantu10

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Cerita hal saka ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Orang-orang tua dulu dikatakan selalu membela saka kerana ia boleh ‘membantu’ melindungi keluarga mereka.


Namun, sebagai umat Islam, kita haruslah ingat Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita meminta perlindungan. Baru-baru ini seorang lelaki telah berkongsi kisahnya yang melibatkan saka di Fiksyen Shasha.

Hantu3
gambar hiasan

Penulis yang bernama Shafiq Haikal telah berkongsi sebuah entri tentang kisah diganggu saka yang tidak mempunyai tuan. Menurut Shafiq, datuk di sebelah bapanya telah membela saka bertujuan untuk mengubat orang.

Datuknya adalah orang yang dicari sekiranya terdapat orang kampung yang ingin berubat akibat terkena santau kerana dia amat hebat dan tidak pernah gagal dalam mengubati orang.

Walau bagaimanapun, perkara menjadi rumit apabila datuknya tenat kerana saka milik datuknya memerlukan tuan yang baru. Menurut Shafiq, saka itu mahukan tuan lelaki dan memandangkan bapanya merupakan anak tunggal lelaki, datuknya ingin menurunkan saka tersebut kepadanya.

Namun begitu, bapanya menolak permintaan tersebut kerana memiliki saka adalah berdosa. Datuknya teramat sedih kerana permintaanya ditolak, tetapi dia sedar perkara ini tidak boleh dipaksa dan dia kemudian meninggal dunia keesokan harinya.

Memandangkan saka datuknya tiada tuan yang baru, saka itu mula mengganggu Shafiq kerana dia adalah anak tunggal kepada ibu bapanya. Menurut Shafiq lagi, saka ini mula mengganggunya ketika dia berumur 4 tahun. Perkara yang paling diingatinya adalah peristiwa pada waktu malam di rumah mereka.

Hantu2
gambar hiasan

Pada satu malam, Shafiq tidur di antara ibu bapanya di atas satu katil yang sama. Tiba-tiba, Shafiq terjaga dan terdengar bunyi salakan anjing yang mendayu-dayu. Namun, ibu bapanya langsung tidak terjaga dengan bunyi salakan tersebut.

Sejurus selepas bunyi salakan itu, Shafiq terpandang ke arah tingkap, di mana kelihatan seorang perempuan telah menembus masuk ke bilik tersebut dan terus pergi ke hujung katil tempat mereka tidur. Ketika itu, dia hanya menganggap ‘perempuan’ itu sebagai pencuri dan terus berpura-pura tidur. Namun, kerana curiga, Shafiq tetap berani untuk curi-curi memerhatikan gerak geri perempuan tersebut.

 

Perempuan itu kemudian, pergi ke arah bapa Shafiq dan memegang kakinya sambil menangis. ‘Dia’ juga turut memegang kaki Shafiq dengan tangan sejuknya sebelum hilang begitu sahaja.

Kemungkinan ‘perempuan’ itu adalah saka milik arwah datuknya yang menangis dan merintih kerana ketiadaan tuan. Shafiq cuba menerangkan peristiwa tersebut kepada ibu bapanya. Namun, mereka tidak percaya kerana menganggap dia hanya mereka cerita.

Bukan itu sahaja, Shafiq turut memberitahu sehingga sekarang saka itu belum mendapat tuan yang baru dan masih mengganggunya walaupun hanya ‘manja-manja’ dan menurutnya, dia juga telah terbiasa dengan ‘usikan’ itu. Masih mencari nampaknya…

Uishh..meremang… Takut kalau ada saka ni. Bukan senang nak buang. Apa-apapun ingatlah, Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita meminta perlindungan.

Baca: Wanita Kongsi Kisah Seram Mayat Hidup Semula Akibat Tuntut Ilmu Salah di Sarawak

Hantu

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.