in

“Dia pantau kawasan dulu…” – Menyamar Jadi ‘Rider’ Makanan Untuk Pecah Rumah

syaz ft 2025 12 31T110717.505

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang lelaki bertindak licik dengan menyamar sebagai penghantar makanan memakai pakaian seragam e-hailing sebelum memecah masuk rumah yang menjadi sasarannya.

Bagaimanapun, taktik suspek berusia 49 tahun itu terbongkar apabila dia ditahan di sebuah kawasan perumahan di Taman Austin Perdana, Khamis lalu.


Artikel berkaitan: Macam Dalam Filem, Ini Bagaimana Muzium Louvre Di Paris Boleh Dirompak Dalam Masa 4 Minit

Artikel berkaitan: Rider Terjerut Tali Layang-layang Di Taman Metropolitan Kepong, MP Minta DBKL Ambil Tindakan

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek berjaya diberkas hasil risikan serta maklumat awam berkaitan beberapa kes jenayah yang berlaku di sekitar Bukit Indah.

“Suspek akan pantau terlebih dahulu di kawasan yang menjadi sasaran dan dia memakai baju penghantar makanan, sebelum melakukan jenayah.

Hasil siasatan, suspek dipercayai aktif sejak pertengahan tahun ini dan sasarannya adalah rumah tidak berpenghuni, dia masuk melalui tingkap tepi rumah yang diumpil dengan peralatan dibawanya,” katanya.

Menurut Kumarasan, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah termasuk tiga alat kawalan jauh kenderaan, dua telefon bimbit, satu kad akses rumah, sebuah komputer riba, kamera papan pemuka, jam tangan, topeng muka, jaket, kasut, topi keledar serta lima beg pelbagai jenis.

Katanya, polis turut menemui dua pasang sarung tangan, tiga keping nombor pendaftaran kenderaan, sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, sebuah kereta, tiga alat permainan video serta pelbagai peralatan pecah rumah.

“Suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, malah ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine,” katanya.

Difahamkan, suspek direman enam hari bermula 26 Dis lalu hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun sama.

Tambahnya, penahanan suspek berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan yang dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Bukit Indah.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.