Gagal ujian memandu sebanyak dua atau tiga kali di Malaysia bukanlah sesuatu yang pelik sebab ramai je yang ada pengalaman kena repeat ujian memandu di litar atau jalan raya.
Namun, bagi seorang nenek di Korea Selatan ini pula, dia akhirnya berjaya mendapat lesen memandu setelah 960 kali percubaan!
Keazaman warga emas yang dikenali sebagai Cha Sa Soon itu telah menjadi tular baru-baru ini apabila kisahnya dikongsikan semula di platform Reddit.
Nenek ini telah mula menjadi perhatian pada tahun 2009 lagi apabila pada ketika itu, dia berjaya lulus ujian memandu bahagian teori pada percubaannya kali ke-950.
Dia kemudiannya gagal dua ujian praktikal sekurang-kurangnya empat kali bagi setiap ujian sebelum akhirnya berjaya lulus kira-kira setahun kemudian.
Menurut laman web NEXTSHARK, warga emas itu tekad untuk belajar memandu dan dapatkan lesen kerana dia tinggal di kawasan kampung yang bergunung-ganang di wilayah Sinchon.
Menurutnya, kawasan kampungnya itu mempunyai sistem pengangkutan awam yang mengecewakan iaitu sebuah bas yang akan datang setiap dua jam.
Jadi, ia menyukarkan perjalanan nenek ini untuk ke mana-mana. Oleh itu, pada tahun 2005, dia tekad untuk mula belajar memandu.
Walaupun dia terpaksa mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk akhirnya lulus ujian berkenaan, Cha Sa Soon mengatakan dia gembira ke sekolah memandu setiap hari kerana mengganggapnya seperti dia ke sekolah ketika waktu kecil dahulu.
Ini kerana ketika zaman kanak-kanaknya, dia terpaksa berhenti sekolah akibat kekangan kewangan keluarga pada zaman itu.
Tambahnya juga, di samping cemburu melihat orang lain yang boleh memandu kenderaan, dia juga mahu membawa cucu-cucunya berjalan-jalan ke zoo.
Warga emas itu juga dianggarkan telah berhabis wang lebih kurang $4,200 (RM18,532) hingga $6,800 (RM30,000) untuk menjalani ujian-ujian yang terpaksa diulang hampir 1000 kali itu.
Difahamkan, nenek ini menggunakan wang yang diperolehnya daripada hasil menjual sayur-sayuran yang ditanam sendiri untuk ujian berkenaan.
Pada tiga tahun pertama, dia akan menjalani ujian teori sekali sehari, lima hari seminggu.
Menurut tenaga pengajar di institut memandu tempat nenek ini belajar, warga emas itu akan menghafal sebanyak mungkin soalan dengan jawapan untuk lulus ujian dan kaedah itu bukanlah cara yang berkesan.
Kesemua cikgu memandu di institut berkenaan turut meraikan nenek itu dan memberinya bunga apabila dia akhirnya berjaya dapat lesen pada Mei 2010 ketika berusia 69 tahun.
Menurut Park Su-yeon iaitu salah seorang pengajar di institut itu, apabila nenek berkenaan akhirnya lulus, mereka merasakan seperti beban di bahu akhirnya hilang kerana mereka tak sampai hati untuk menyuruh nenek itu berhenti belajar meskipun gagal beratus kali.
Memang mencabar nak mengajar nenek ini untuk lulus ujian, namun kami tak jadi nak marahnya sebab dia seorang yang ceria,” ujar Lee Chang-su, seorang lagi tenagah pengajar di sekolah memandu itu.
Kisah kecekalan nenek ini untuk mendapatkan lesen memandu itu telah mendapat perhatian syarikat automotif Korea, Hyundai di mana syarikat itu dikatakan telah menghadiahkan nenek ini dengan sebuah kereta baru pada Ogos 2010.
Nenek ini juga telah dipilih untuk tampil dalam iklan kereta syarikat itu tau! Boleh tengok video iklan nenek ni kat sini.
Malah, nenek ini turut dikatakan telah memecah rekod Guiness untuk kategori ‘individu paling banyak duduki ujian teori memandu’.
#OTD in 2009, 68-year-old Cha Sa-soon passed her theoretical driving test on the 950th attempt – setting the record for 'most driving theory tests taken'.
The estimated cost of all the tests was thought to be around $4,200.
— Guinness World Records (@GWR) November 6, 2020
Kisah nenek ini boleh diibaratkan seperti pepatah ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.
Walau bagaimanapun, nenek ini bukanlah individu pertama yang ada pengalaman macam ni sebab pada tahun 2018, warga emas berusia 78 tahun di United Kingdom juga berjaya mendapat lesen memandu selepas 50 tahun belajar.
Apa-apa pun, memang tabik spring lah dekat nenek Cha Sa Soon!
Sumber: Yonhap News Agency, BBC, NEXT SHARK