Bila dengar perkataan lanun, mesti korang akan terbayang orang macam Jack Sparrow atau lelaki yang mempunyai rupa yang menakutkan, berkaki kayu, bertangan cangkuk dan pakai eyepatch kan?
Sebenarnya sampai sekarang pun masih wujud tau lanun-lanun di lautan. Macam dulu dorang akan mencuri emas, perak, permata dan tong-tong alkohol, sekarang pula lanun biasanya akan menahan kapal besar yang bergerak perlahan untuk mencuri kargo, krew atau keseluruhan kapal.
Bila bercakap pasal lanun ni mesti kita terbayang dorang ada di lautan-lautan besar macam Carribean kan? Tapi sebenarnya dalam sejarah, salah seorang lanun yang paling digeruni dan berjaya di dunia merupakan seorang wanita Asia bernama Ching Shih tau!
Biasanya beberapa lanun akan memerintahkan sepuluh kapal paling banyak tapi Ching lebih dahsyat, dia telah menguruskan lebih 1,500 kapal dan 70,000 krew kapal lelaki yang perlu mengikut arahannya.
Artikel berkaitan: Wes Anderson ‘Trending’ Di TikTok, Ini 5 Filemnya Korang Patut Tonton, Confirm Tak Menyesal!
Artikel berkaitan: 5 Filem ‘Chinese’ Yang Best Korang Boleh Tonton Di Netflix Sempena Tahun Baru Cina Ni!
Tapi siapa sebenarnya Ching Shih ni dan macam mana seorang wanita yang bermula sebagai seorang pelacur boleh menjadi orang yang digeruni di Laut China Selatan?
Kehidupan awal Ching Shih
Ching Shih dilahirkan sebagai Shih Yang pada tahun 1775 di dalam masyarakat miskin di wilayah Guangdong di semenanjung China. Selepas baligh, dia telah dipaksa untuk menjadi pelacur bagi membantu keluarganya.
Ching bekerja di rumah pelacuran terapung yang turut dikenali sebagi bot bunga di bandar pelabuhan Kantonis. Kerana kecantikan dan kebijakannya, Ching cepat menjadi pelacur yang popular di kawasan tersebut dan berjaya menarik pelanggan-pelanggan berprofil tinggi seperti pembesar istana, panglima tentera dan pedagang kaya.
Kemudian, pada tahun 1801, seorang komander lanun terkenal Zheng Yi telah bertemu dengan Ching Shih yang berusia 26 tahun di Guangdong. Terpikat dengan kecantikan dan kebolehannya untuk menggunakan kuasanya ke atas pelanggan-pelanggannya dengan memperdagangkan rahsia.
Terdapat beberapa laporan mengatakan bahawa Ching telah menerima lamaran Zheng Yi secara sukarela dan ada juga yang mengatakan dia telah diculik dan dipaksa untuk berkahwin.
Tapi apa yang pasti, Ching bersetuju untuk berkahwin sekiranya Zheng Yi memberikan 50% pendapatannya dan kuasa untuk mengawal sebahagian dari kumpulan lanunnya, Red Flag Fleet. Lelaki itu bersetuju dan mereka pun berkahwin dan dikurniakan dua anak lelaki.
Reformasi Red Flag Fleet
Ching Shih telah mengambil bahagian sepenuhnya di dalam dunia lanun suaminya dan segala urusan Red Flag Fleet. Malah, dia turut menetapkan beberapa peraturan termasuklah hukuman mati serta-merta kepada sesiapa yang enggan menurut arahan, hukuman mati jika merogol tahanan wanita, hukuman mati kerana curang dalam perkahwinan dan hukuman mati untuk seks luar nikah.
Manakala, tahanan wanita pula telah dilayan dengan lebih baik dan tahanan yang lemah, tak cantik atau mengandung pula akan segera dibebaskan. Bagi tahanan yang cantik, mereka akan dijual atau dibenarkan untuk berkahwin dengan salah seorang lanun sekiranya kedua-dua bersetuju.
Selain itu, orang-orang yang jujur dan setia juga akan menerima ganjaran yang sangat baik dan mereka disarankan untuk bekerjasama.
Di bawah pemerintahan bersama Zheng Yi dan Ching Shih, Red Flag Fleet telah berkembang dari segi saiz serta kekayaan. Undang-undang baru yang ditetapkan pula, walaupun agak tegas namun adil apabila disertakan dengan sistem ganjaran sehingga banyak kumpulan-kumpulan lanun lain di wilayah tersebut telah bergabung dengan Red Flag Fleet.
Bermula dari 200 kapal semasa perkahwinan Zheng dan Ching, ia telah bertambah menjadi 1800 kapal hanya dalam masa beberapa bulan sehingga menjadi kumpulan lanun terbesar di dunia.
Kematian suami, berkahwin dengan anak angkat & kegemilangan Ching Shih
Zheng Yi dan Ching Shih telah mengambil seorang nelayan muda berusia 20-an bernama Cheung Po dari perkampungan persisiran pantai berdekatan. Ini bermakna, pemuda tersebut telah menjadi pemerintah kedua kepada Zheng Yi. Terdapat beberapa teori yang mendakwa Zheng Yi atau Ching Shih mempunyai hubungan sulit bersama Cheung Po.
Zheng Yi kemudiannya meninggal dunia pada 1807 di usia 42 tahun sama ada kerana tsunami atau dibunuh di Vietnam. Kematian suaminya ini telah membuatkan kedudukan Ching Shih sebagai ketua tergugat. Menggunakan kebijakannya dan connection Zheng Yi, Ching Shih berjaya melawan kapten-kapten kapal yang cuba untuk mengambil alih jawatan tersebut dan menjadikan anak angkatnya sebagai ketua kumpulan.
Kurang dua minggu selepas kematian suaminya, Ching mengumumkan yang dia akan berkahwin dengan anak angkatnya dan kesetiaan Cheung Po telah mengukuhkan kedudukan Ching di dalam Red Flag Fleet.
Ching terus memperkuatkan Red Flag Feet dengan menawan perkampungan-perkampungan di pesisiran pantai dan mengawal seluruh Laut China Selatan. Semua penduduk kampung telah menjadi pekerjanya dengan membekalkan barang dan makanan. Manakala apa-apa kapal yang mahu merentasi Laut China Selatan pula, perlu membayar cukai serta sering merompak kapal penjajah British dan Perancis.
Seorang pekerja East India Company bernama Richard Glasspoole pernah ditahan oleh Red Flag Feet selama empat bulan pada tahun 1809 di mana dia menganggarkan, terdapat seramai 80,000 lanun di bawah pemerintahan Ching Shih.
Kerajaan Dinasti Qing Cina pada ketika itu mahu menumpaskan Red Flag Feet dan tentera laut Mandarin telah dihantar untuk bertempur dengan mereka di Laut China Selatan. Dalam masa beberapa jam sahaja, tentera laut Mandarin telah ditahan dan Ching menggunakan peluang ini dengan memberikan tawaran mengatakan mereka tak akan dihukum sekiranya mereka sertai kumpulannya.
Hasilnya, Red Flag Feet terus membesar dan Dinasti Qing telah kehilangan ramai askar-askar laut mereka.
Tumpasnya Red Flag Feet
Maharaja China pada ketika itu rasa dimalukan apabila seorang wanita boleh mengawal sebahagian besar tanah, laut, orang dan sumber yang sepatutnya menjadi miliknya. Disebabkan ini, Maharaja ini telah menawarkan pengampunan kepada semua lanun Red Flag Fleet.
Pada masa yang sama, Red Flag Fleet turut diserang oleh askar Portugis. Kerana Portugis pernah tewas sebanyak dua kali sebelum ini, kali ini mereka telah membuat penyediaan dengan membawa kapal dan senjata yang banyak.
Ching Shih kemudiannya bersara pada 1810 dengan menerima tawaran pengampunan dari kerajaan China.
Kesemua krew Red Flag Feet kemudiannya menyerah diri selepas mendapat jaminan untuk menyimpan semua harta rampasan mereka dan beberapa lanun diberikan pekerjaan di dalam ketenteraan atau kerajaan China. Malah, Cheung Po juga telah menjadi kapten tentera laut Guangdong Dinasti Qing.
Ching Shih kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki pada 1813 dan kemudian melahirkan anak perempuan. Pada tahun 1822, suami keduanya telah meninggal di laut.
Menggunakan kekayaannya, Ching telah berhijrah ke Macau bersama anak-anaknya dan mula membuka rumah perjudian serta melibatkan diri dalam perdagangan garam. Ketika akhir hidupnya, wanita ini juga sempat membuka satu rumah pelacuran di Macau.
Ching meninggal dunia di usia 69 tahun ditemani oleh keluarganya dan keturunannya dikatakan masih menjalankan perniagaan perjudian dan pelacuran di kawasan yang sama.
Sumber: History Hit