Daoud Nabi, Syahid Pertama Tragedi Jumaat Berdarah Christchurch. Siapa Beliau Sebenarnya?

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:



Tragedi solat Jumaat berdarah di Christchurch semalam bukan saja menjadi hari paling gelap dalam sejarah moden New Zealand.

Ia juga, merupakan hari terburuk buat keluarga Daoud Nabi. Siapa Daoud Nabi ni? Jom kita baca.

 

“Hello Brother”

Hari Jumaat.

Kaum Muslimin di Masjid Al-Noor sedang bersiap untuk mendengar khutbah sebelum menunaikan solat Jumaat.

Dalam kesibukan orang ramai bersiap-siap di dalam masjid, mungkin ada yang sedang berdoa, mungkin ada yang melakukan solat sunat, atau baru nak berwudhu’ — muncul pula seorang lelaki berfahaman ‘gila’ yang penuh kebencian dalam hatinya.

Lengkap berpakaian ala-tentera, lelaki ini menuju ke pintu hadapan masjid sambil mengacukan senjata automatiknya, bersedia untuk melepaskan isi peluru pertama.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki lain di pintu masjid, dan menyambut ‘si gila’ ini dengan sapaan “Hello Brother.”

Dalam erti kata lain, sapaan itu boleh juga dimaksudkan dengan “Selamat datang ke masjid, wahai saudaraku.”

Namun sapaan penuh kemesraaan itu tidak dijawab.

“Saudara” itu sebaliknya membalas dengan tembakan bertubi-tubi, yang menggegak gempitakan seluruh isi masjid dan membuat setiap jemaah lari bertempiaran dengan wajah pucat kebiruan.

Nah, siapa lelaki pertama yang ditembak itu?

Beliau adalah Daoud Nabi. 

Tanggal 15 Mac 2019, menjadi Jumaat terakhir dalam riwayat Daoud.

Pada usia 71 tahun, Daoud rebah di pintu masjid dan menjadi syahid pertama dalam serangan berdarah Christchurch.

 

Berkelana dari Afghanistan

Daoud merupakan seorang pendatang dari Afghanistan — yang tekad meninggalkan bumi bergunung ganang itu dan menemui kedamaian yang diimpikan di tanah kebanggaan bangsa Maori.

Beliau dan keluarganya melarikan diri, sewaktu Afghanistan diselubungi kekalutan rentetan serangan Kesatuan Soviet ke atas negara itu pada awal 1980an.

Anaknya Omar Nabi berkata, ayahnya begitu ‘menyayangi’ New Zealand hingga dia mengumpamakan negara itu sebagai ‘syurga dunia.’

Semasa hayatnya, Daoud aktif membantu kumpulan-kumpulan pelarian yang datang mencari perlindungan di New Zealand.

Tidak kiralah dari mana pun mereka datang, baik dari Palestine, Syria dan Iraq — Daoud sentiasa terbuka dan bersungguh-sungguh membantu mereka memulakan kehidupan baru di negara itu.

Selain itu, Daoud juga telah menubuhkan sebuah masjid dan dipilih memimpin persatuan penduduk Afghanistan di New Zealand.

 

Daoud, simbol Muslim sejati

Seorang pengguna Twitter, @fahdpahdepie menyifatkan tindakan Daoud menyambut kedatangan suspek dengan sapaan “Hello Brother” sebagai penuh dengan keihklasan dan ketulusan.

Meskipun sedar dia sedang berdepan dengan maut, Daoud masih tenang dan bersahaja menunjukkan rasa hormat dan kasih kepada orang luar.

Ketenangan Daoud ketika itu, menjadi simbol betapa Islam adalah sebuah agama ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan.

Demikianlah kisah seorang syahid, yang kasihnya tidak mengenal rupa — sehingga membawa cahaya Islam (salam, selamat, sejahtera) menerangi seluruh dunia.

 

Baca: Insiden Christchurch: Indahnya Islam, Lelaki Pertama Ditembak Mati Sempat Ucap ‘Hello Brother’ Pada ‘Pengganas’

 

Rocket WOBIkuti kami untuk berita viral setiap hari:

Ditulis oleh Nab Talib

Seorang yang selalu berangan untuk bekerja di Dunder Mifflin Paper Company, dan penggemar berat Morrissey.