Seperti yang ramai tahu, kehilangan deria bau adalah salah satu simptom bagi COVID-19. Walaupun sudah pulih, ada juga sesetengah bekas pesakit COVID-19 yang mengambil masa yang agak lama sebelum deria itu kembali normal.

Mengambil inspirasi daripada situasi ini, seorang oncologist warga Perancis telah mencipta satu aplikasi bernama CovidAnosmi. Aplikasi ini hanya mempunyai satu misi iaitu untuk membantu memulihkan deria bau bekas pesakit COVID-19.
Memetik MalayMail, aplikasi ini menyediakan program berstruktur khas bagi memulihkan deria bau berdasarkan kajian saintifik. Jadi, bekas pesakit COVID-19 boleh bergantung pada aplikasi ini untuk membantu mereka dalam rehabilitasi. Tidak cukup dengan itu, aplikasi CovidAnosmi ini juga adalah percuma.
Untuk pengetahuan anda, CovidAnosmi dibangunkan hasil kerjasama Dr Fabrice Denis yang juga merupakan seorang pakar dalam aplikasi kesihatan digital dan syarikat Kelindi.
Difahamkan, CovidAnosmi membolehkan penggunanya mengikuti proses latihan yang memerlukan mereka mencium bau essential oil berperisa seperti kopi atau vanila dua kali sehari. Ia agi membantu keupayaan deria bau untuk pulih dengan lebih cepat serta memulihkan saraf olfaktori yang terjejas akibat virus.
Menerusi kajian klinikal yang diterbitkan dalam Journal of Medical Internet Research, satu kajian menggunakan CovidAnosmi telah dijalankan ke atas lebih 500 pesakit. Meskipun mengambil masa, CovidAnosmi ternyata merekodkan keputusan yang memberangsangkan.

Dikhabarkan, sebanyak 73 peratus bekas pesakit memaklumkan terdapat peningkatan deria bau selepas 28 hari tempoh rehabilitasi dan ia akan meningkat kepada 78 peratus dalam tempoh dua bulan.
Menurut statistik Perancis, kira-kira 30 peratus pesakit yang mempunyai masalah ini akan mengalami kemurungan. Oleh itu, penghasilan aplikasi CovidAnosmi ini sememangnya mampu memberikan sinar harapan buat pesakit yang mempunyai masalah kehilangan deria bau.
Sumber: MalayMail
Baca: “Hilang deria bau & rasa juga boleh dikira simptom Covid-19” – Doktor Pakar UK