Sedar atau tidak sudah lebih setahun dunia dilanda wabak COVID-19.
Memetik laporan Astro Awani, , setakat awal pagi tadi, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 seluruh dunia kini telah melepasi angka 102 juta kes. Manakala kes kematian pula sudah melepasi 2.21 juta kes.
Melihat kepada peningkatan kes jangkitan di Bogotá , datuk bandar di Bosa, sebuah daerah di barat daya Bogotá telah memulakan inisiatif kempen pendidikan bagi meningkatkan kesedaran terhadap ancaman virus berbahaya berkenaan.
Inisiatif yang dinamakan “COVID-19 kills, don’t risk your life” ini menggunakan batu nisan berwarna hitam yang diukir dengan nama lebih 800 mangsa dari Bosa yang meninggal dunia akibat wabak maut itu, lapor La Prensa Latina.
Menurut Datuk Bandar Bosa, Lizbeth González Vargas, matlamat mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa melalui strategi mengukuhkan penjagaan diri serta tindakan orang ramai.
“Setelah sembilan bulan bertarung dengan virus itu di bandar ini, kini sudah tiba masanya untuk menggunakan kempen berbeza. Kempen yang mengutamakan tindakan orang ramai, penjagaan kendiri bagi semua penduduk Bosa, kempen yang akan memberi kesan mendalam ke atas pengorbanan kita untuk menjaga diri sendiri,” katanya.
Bagi Jessica, seorang penduduk di bandar terbabit, dia bersetuju dengan inisiatif yang diambil datuk bandar untuk menyedarkan orang ramai mengenai ancaman COVID-19.
“Ia memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menjaga diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Untuk rekod, Bosa memulakan kuarantin ketat pada 15 Januari lalu dengan rekod kes aktif sebanyak 2,285 dan 863 kematian.
Bogotá masih terus menjadi fokus utama pandemik di Columbia dengan jumlah keseluruhan kes mencecah 602,584 daripada 2.06 juta yang dilaporkan di seluruh negara. Kematian yang direkodkan pula mencapai angka 52,523.
Sumber: La Prensa Latina, Agencia EFE