Menyantuni masyarakat yang berbilang agama akhirnya membuka pintu hati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah, 58, untuk memeluk agama Islam.
Keputusan itu dibuat tanpa paksaan dan keikhlasan hati selepas lebih sedekad beliau berkhidmat dan mendampingi pelbagai lapisan masyarakat di kawasan yang diwakilinya.
Beri bantuan di masjid, surau, gereja
Sebagai wakil rakyat yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, amalan membantu rumah ibadat sebenarnya telah bermula sejak sebelum beliau memegang jawatan politik lagi.
Walaupun berpegang kepada kepercayaan pagan sebelum ini, keprihatinan beliau terhadap pendidikan agama masyarakat Islam mendorongnya melantik sembilan guru Fardu Ain untuk mengajar al-Quran di Pitas, dengan setiap seorang menerima bayaran RM1,000 sebulan menggunakan wang peribadinya.
“Dengan adanya sumbangan kepada surau dan masjid, bantuan guru Fardu Ain, serta kemudahan van jenazah untuk umat Islam dan Kristian yang disediakan secara percuma untuk kegunaan bersama, serta kain kafan di setiap surau, perkara-perkara inilah yang membuatkan hati saya terbuka.
“Mungkin saatnya sudah tiba. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

Artikel berkaitan: Gambar Kahwin Tular, Roberto Carlos Didakwa Peluk Islam Lepas Bernikah Bulan Lalu
Artikel berkaitan: Pempengaruh Muka Gangster Kongsi Perjalanan Ibu Peluk Islam, Doa 12 Hari Di Tanah Suci Termakbul
Isteri sudah lama menanti untuk peluk Islam
Penghijrahan beliau bukan disebabkan faktor politik, keluarga atau sebarang tawaran daripada mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada keikhlasan hati selepas hidayah sampai kepadanya.
Dalam pada itu, isteri dan lima daripada enam anaknya telah memeluk Islam lebih awal. Malah, isterinya sudah 10 tahun menanti dan mengajaknya untuk masuk Islam.
Beliau kerap mengikuti ceramah agama Islam serta mempelajari tatacara ibadat sejak sekian lama, termasuk membina sebuah surau di kawasan rumahnya yang baru siap dua bulan lalu.
Keputusan mulia ini turut disambut baik oleh keluarga besar serta masyarakat Kristian di Pitas yang sudah diberikan penjelasan lebih awal.
Sumber: Berita Harian
