Pada hujung minggu lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin telah menerima kritikan dari netizen selepas gambarnya merasmikan Program Malaysia Prihatin Norma Baharu Berekreasi yang dimuat naik di Facebook peribadinya tular.
Ini ekoran orang ramai melihat aktiviti tersebut sebagai “fun ride” dan mengikut garis panduan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua aktiviti yang melibatkan perhimpuan besar adalah dilarang kerana sukar untuk mengamalkan penjarakan fizikal termasuklah fun run, fun ride, marathon, dan triathlon.
Bukan sahaja netizen malah dua peguam dan seorang ahli parlimen juga turut bersuara meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ekoran aktiviti tersebut. Menurut mereka, SOP perlu dipatuhi oleh semua orang tak kira menteri atau rakyat biasa.
Pun begitu, selepas gambar tersebut tular, Jabatan Landskap Negara (JLN) telah mengeluarkan kenyataan menegaskan yang aktiviti tersebut bukanlah “fun ride” seperti yang digembar-gemburkan di media sosial.
Menurut FMT, jabatan tersebut mengatakan aktiviti tersebut adalah aktiviti rekreasi yang dibenarkan di bawah garis panduan PKP.
Aktiviti tersebut bukan ‘fun ride’ kerana ia tak dibuka untuk orang awam dan bukanlah berbentuk kejohanan ataupun pertandingan dengan kehadiran penonton.”
Katanya lagi, kesemua 30 penunggang berbasikal tersebut merupakan kakitangan JLN dan SWCORP. Malah, mereka juga turut berjogging sambil mengutip sampah.
Tak cukup dengan itu, JLN turut berkata yang kesemua penunggang telah pun diperiksa suhu sebelum memasuki taman, melakukan penjarakan sosial serta memakai hand sanitiser.
Tujuan aktiviti ini diadakan juga adalah untuk mempromosikan amalan berbasikal norma baharu dengan sentiasa memastikan penjarakan sosial, kebersihan diri dijaga serta tak berkongsi peralatan dan sentiasa memastikan keselamatan semasa berbasikal.
Baca: “Saya akui kebodohan saya” – [VIRAL] Lelaki Mengaku Dibayar Oleh Kawan Untuk Tweet Puji Zuraida