in

“Bukan duit rakyat” – TMJ Akan Tanggung Semua Kos Bawa Kes Pemain Warisan Ke CAS

syaz ft 2025 11 06T120421.147

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menanggung sepenuhnya semua kos berkaitan kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang akan dirujuk ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Perkara itu dimaklumkan oleh Tunku Ismail sendiri sebagai tanda sokongan terhadap usaha mendapatkan keadilan untuk pemain yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).


Artikel berkaitan: “Terus menghukum para pemain” –  TMJ Dakwa FIFA Langgar Peraturan Sendiri

Artikel berkaitan: Isu Pemain Warisan: FAM Terkejut Dengan Keputusan FIFA, Akan Bawa Kes Ke CAS

“Saya tanggung semua, bukan duit rakyat,” titah baginda ringkas ketika menjawab pertanyaan mengenai pembiayaan kes berkenaan.

Kenyataan itu sekali lagi mencerminkan keprihatinan Tunku Ismail terhadap nasib pemain terbabit yang sebelum ini dikenakan tindakan oleh FIFA berhubung status kelayakan mereka bersama skuad kebangsaan.

Terdahulu, FAM mengesahkan akan membawa isu berkenaan ke CAS selepas rayuan terhadap keputusan FIFA ditolak, sekali gus menjadi peluang terakhir untuk mendapatkan pembelaan.

Dalam masa sama, baginda turut menegaskan tidak bimbang sekiranya kenyataannya terhadap FIFA mungkin membawa implikasi daripada badan induk bola sepak dunia itu.

“Tidak (bimbang dikenakan tindakan FIFA). Silakan,” tegas Tunku Ismail ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan susulan selepas mengkritik FIFA secara terbuka baru-baru ini.

Sebelum ini, harapan FAM untuk mendapatkan keputusan berbeza selepas hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA tidak kesampaian apabila usaha rayuan mereka gagal.

Dalam keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA malam ini, badan induk tersebut mengekalkan hukuman penggantungan terhadap tujuh pemain negara serta denda ke atas FAM.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.