Kerajaan mengumumkan cukai jualan sebanyak 5% akan dikenakan ke atas buah-buahan import di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST), berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Buah-buahan yang ditanam secara tempatan dikecualikan daripada sebarang cukai jualan. Misalnya, buah strawberi dari Cameron Highlands tidak akan dikenakan cukai, manakala strawberi yang diimport dari luar negara akan dikenakana cukai SST sebanyak 5%.
Bos Mydin anggap kenakan SST buah import B40 tak masuk akal
Bagaimanapun, pelaksanaan cukai jualan ini menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat.
Artikel berkaitan: GST vs SST: Mana Lebih Baik?
Artikel berkaitan: “Rasa macam nak nangis” – Netizen Puji Mydin Sebab Jual Baju Melayu RM 5
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin, menganggap langkah kerajaan mengenakan SST ke atas buah-buahan import sebagai sesuatu yang ‘tidak masuk akal’.
Katanya, ini disebabkan ada antara buah-buahan import itu turut digunakan oleh rakyat berpendapatan rendah.
Menurut Ameer, buah-buahan seperti epal, oren dan pisang sering dikaitkan dengan amalan pemakanan yang sihat. Buah-buahan ini juga menjadi pilihan sebagai buah tangan kebanyakan rakyat contohnya seperti ketika menziarahi seseorang yang uzur di hospital.
“Saya memang tak setuju dan tak masuk akal jika buah asas macam epal, oren, pisang dan lain-lain kena SST. Semua ni makanan (golongan) B40,” katanya.
Epal, pisang & oren yang dihasilkan dalam negara tak mencukupi
Walaupun ada hujah mendakwa buah-buahan tersebut turut dihasilkan di dalam negara, namun menurut Ameer, pengeluaran semasa di Malaysia masih tidak mencukupi sehingga ia perlu diimport.
“Pisang contohnya, memang ada sumber tempatan, tetapi bekalan tidak mencukupi. Sebahagian besar daripadanya juga diimport.
“Pisang ini sama seperti epal dan oren dianggap sebagai makanan asas rakyat, khususnya golongan B40.
“Ketika ini walaupun buah-buahan seperti epal dan oren diimport, harganya tidak terlalu mahal dan menjadi pilihan ramai, termasuk golongan berpendapatan rendah.
“Jadi, buah-buahan ini boleh kita anggap sebagai ‘buah-buahan rakyat’ seumpama istilah ‘ikan rakyat’ yang biasa kita guna.”
Justeru, beliau menggesa kerajaan kecualikan SST untuk ‘buah-buahan rakyat’ ini. Tambahnya lagi, kerajaan sepatutnya mengasingkan buah-buahan yang dikategorikan sebagai ‘buah rakyat’ dengan buah-buahan mewah yang memang hanya dinikmati segelintir orang.
Ujarnya, pelaksanaan SST ke atas buah-buahan sebegitu hanya akan menyebabkan harga produk tersebut melambung naik dan akhirnya akan menekan pengguna.
Difahamkan, kerajaan melaksanakan cukai ke atas buah-buahan import ini sebagai langkah untuk membuka peluang besar kepada pengukuhan industri buah-buahan tempatan di Malaysia.
Sumber: Malaysiakini