Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa beberapa bulan lalu, ramai di antara kita yang gian untuk melakukan aktiviti fizikal ekoran terpaksa duduk di rumah. Kini, kita boleh menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan rakyat Malaysia untuk bersukan, dengan syarat perlu mematuhi segala Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.
Terbaru, seorang wanita tempatan terpaksa diusung turun ke bawah dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selepas mengalami sesak nafas ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Besi, Cheras.
Menurut Komander Operasi Kanan JBPM Kuala Lumpur, Mohd. Fahmi Abd Rahim, pihaknya ada menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.38 pagi. Seramai 20 anggota bersama tiga jentera telah dikerah ke lokasi kejadian.
Setibanya di Bukit Besi, mereka mendapati wanita berusia 23 tahun itu sedang mengalami sesak nafas dan tidak mampu lagi untuk meneruskan aktiviti pendakian. Untuk rekod, mangsa sudah pun berada pada ketinggian 291 meter sebelum diselamatkan oleh pihak bomba.
“Anggota bertugas menggunakan pengusung untuk menurunkan mangsa dengan berat anggaran 104 kilogram melalui perjalanan berbukit dan curam sejauh kira-kira 244 meter untuk ke kaki bukit”
Bagaimanapun, wanita tersebut selamat dibawa turun pada pukul 12.52 tengah hari dan seterusnya dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.
Sumber: Metro