Proses mencari pekerjaan bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 ini. Jadi apabila anda dijemput untuk menghadiri temuduga kerja yang diminta, persediaan yang rapi mestilah dilakukan.
Sering kali kita melihat, calon pekerja tidak membuat persiapan yang rapi ketika temuduga. Kesannya, masa dan usaha yang dibuat calon terbazir begitu sahaja meskipun mereka berjaya menghadiri proses temuduga itu.
Untuk itu, calon mestilah mempunyai ilmu yang cukup untuk menghadapi temuduga pekerjaan yang diminta. Berikut adalah 7 perkara yang anda perlu elak lakukan semasa temuduga kerja:
1. Pakaian tak formal
Meskipun rata-rata proses temuduga dilakukan secara atas talian ketika pandemik Covid-19, ini tidak bermakna anda boleh memakai pakaian rumah atau tidak formal ketika proses tersebut.
Memakai pakaian formal menampakkan anda sebagai seorang yang profesional dan membuat persiapan dalam menghadiri temuduga. Jangan pakai t-shirt biasa pula okay!
2. Bercakap buruk tentang bekas majikan
Antara salah satu sebab pekerja mencari pekerjaan baru adalah suasana kerja mereka yang tidak menarik dan toksik. Namun ketika temuduga pekerjaan baharu, anda tidak dinasihatkan untuk bercakap buruk atau negatif tentang bekas majikan.
Ini akan mencerminkan sikap anda sebagai seorang yang tidak profesional.
3. Tidak bertanya soalan
Bakal majikan akan menilai anda semasa proses temuduga sedang berlangsung. Jadi, calon yang tidak bertanya soalan akan kelihatan seperti tidak berminat atau tidak mengetahui berkenaan pekerjaan yang dimohon.
Berikut adalah beberapa soalan yang anda boleh tanya:
“Apa kriteria yang kena ada dalam calon untuk jawatan ni?”
“Boleh ceritakan apa rutin kerja orang dalam jawatan ni?”
4. “Boleh buat part-time sambil kerja tak?”
Rata-rata daripada kita membuat dua pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian. Seeloknya, anda dinasihatkan untuk tidak bercerita tentang pekerjaan sambilan yang dilakukan.
Ini bakal membuatkan bakal majikan berfikir anda tidak boleh fokus terhadap pekerjaan yang dimohon.
5. Tak buat kajian
Anda mungkin mempunyai kemahiran untuk pekerjaan yang dimohon, namun adakah anda tahu tentang syarikat tersebut? Anda boleh periksa ruangan ‘About Us’ di laman web syarikat untuk mengetahui tentang latar belakang mereka.
6. Tipu dalam resume
Apa-apa yang dinyatakan di dalam resume kebiasaannya akan ditanya ketika temuduga. Jadi, menipu tentang kemahiran atau latar belakang anda di dalam resume akan mencalarkan reputasi anda sebagai pemohon.
7. Ambil masa yang lama untuk jawab
Ungkapan “Aaaa” atau “Emm” acap kali digunakan oleh calon ketika menjawab soalan yang diajukan ketika temuduga. Ini akan menampakkan anda sebagai seorang yang tidak bersedia atau tidak boleh menjawab soalan tersebut.
Sebaliknya, anda boleh mengambil masa beberapa saat untuk berfikir dan hanya menjawab apabila sudah mendapat jawapan.
Kredit: Michael Page
BACA: Tak Reti Buat Resume? Guna 5 Laman Web Ini Dengan Hanya Isi Tempat Kosong