Bila kita sanggup berkorban wang ringgit, kerjaya atau masa untuk orang yang tersayang, kita bukan minta balasan setimpal tapi cukuplah dihargai dengan kesetiaan kan?
Tapi apa yang berlaku ke atas Betty Broderick ini lain pula. Selepas dia berkorban wang ringgit dan kerjayanya untuk suaminya sambung belajar, dia dikhianati selepas lelaki ini memilih wanita yang lebih muda.
Untuk pengetahuan korang, cerita Betty Broderick ini telah menimbulkan perbalahan di kalangan orang yang mengikutinya. Ada yang cakap wanita ini memang patut bunuh suaminya dan ada juga yang mengatakan wanita ini sebagai pembunuh yang kejam.
Penceraian toksik Dan dan Betty Broderick
Dilahirkan sebagai Elisabeth Anne Bisceglia pada 7 November 1947, Betty Broderick telah dibesarkan oleh keluarga Katoliknya. Sebagai seorang penganut Katolik yang setia, Betty bercadang untuk masuk ke kolej wanita Katolik tempatan selepas tamat persekolahan.
Namun begitu, rancangannya bertukar selepas dia bertemu dengan Dan Broderick di sebuah perlawanan bola di Notre Dame dan berkahwin pada tahun 1969.
Betty telah menampung yuran pembelajaran suaminya ini yang mengambil jurusan undang-undang di Universiti Harvard dengan mengajar di sekolah rendah dan mengambil upah menjaga anak orang.
Apabila Dan tamat pengajian, pasangan ini berpindah ke La Jolla, California dan memulakan kehidupan mereka sebagai keluarga. Betty menjadi suri rumah dan membesarkan empat orang anaknya.
Manakala Dan yang baru menjadi peguam kemudiannya telah berjaya menjana pendapatan lebih dari satu juta dollar setahun di firmanya. Walaupun sekarang pasangan ini mampu untuk memiliki keahlian di kelab mewah, kereta mewah, bot dan rumah mewah, ia tidak dapat memperbaiki hubungan mereka yang semakin retak.
Betty mula mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit selepas Dan mula naikkan pangkat Linda Kolkena pada tahun 1983 untuk menjadi pembantunya walaupun bekas pramugari yang mula bekerja sebagai penyambut tetamu ini tidak mempunyai kelulusan mahu pun tahu menaip.
Kecurigaan Betty ternyata benar selepas suaminya ini kantoi menjalinkan hubungan sulit dengan Linda. Sejurus dapat tahu, Betty yang rasa dikhianati ini telah membakar baju-baju suaminya dan membaling radio ke arah Dan.
Bukan itu sahaja, Dan juga cuba pelbagai cara untuk menghalang Betty dari mendapat pembelaan yang sepatutnya dengan menggunakan kuasanya sebagai seorang peguam. Hasilnya, wanita ini sukar untuk mencari peguam yang sanggup membelanya bagi meneruskan proses penceraian.
Bengang dengan tindakan Dan, Betty telah memecah masuk rumah suaminya ini dan menyembur cat di bilik lelaki tersebut serta sepahkan dapur dengan makanan.
Sebagai balasan, Dan telah memfailkan perintah larangan ke atas Betty pada tahun 1984 hingga menyebabkan wanita ini melanggar pintu depan rumah suaminya dengan kereta.
Betty telah ditahan dengan pisau di tangan dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa selama 72 jam.
Penceraian di antara Betty dan Dan akhirnya selesai pada tahun 1986 di mana lelaki tersebut berjaya memiliki rumah mereka dan mendapat hak penjagaan anak-anak.
Dia ambil rumah saya, anak-anak saya, duit saya. Ini merupakan cara dia ‘memukul’ saya. Kalau dia pukul saya dengan kayu besbol saya boleh tunjukkan apa yang dia telah buat pada saya dan buat dia berhenti.” – Betty.
Walaupun Betty diberikan elaun namun wanita ini mendakwa ianya tak cukup untuk dia meneruskan kehidupannya.
Namun apa yang betul-betul buat wanita ini jadi “gila” apabila Dan dan Linda membuat keputusan untuk berkahwin pada tahun 1989.
Pembunuhan Dan Broderick dan Linda Kolkena
Perbalahan di antara Betty dan Dan ini terlalu teruk sehinggakan Linda memberikan cadangan supaya bakal suaminya itu memakai baju kalis peluru ketika majlis perkahwinannya namun Dan menolak.
Betty pula pada ketika itu baru sahaja membeli sepucuk pistol jenis revolver. Tanpa pengetahuan orang, pada 5 November 1989, Betty telah menggunakan kunci anak perempuannya untuk masuk ke dalam rumah bekas suaminya.
Kehadirannya di dalam bilik tidur pengantin baru ini telah menyebabkan Linda terkejut dan mula menjerit memanggil polis sebelum Betty melepas lima das tembakan ke arah mereka.
Dan cuba untuk menelefon meminta bantuan selepas ditembak namun Betty telah mencabut wayar telefon sebelum beredar dan membiarkan bekas suaminya itu mati akibat kehilangan darah.
Betty kemudiannya telah pergi ke balai polis untuk serah diri.
Ketika perbicaraannya pada tahun 1990, Betty mengatakan yang dia berniat untuk menembak dirinya sendiri di hadapan pasangan tersebut namun terkejut bila mendengar jeritan Linda sehingga dia melepaskan tembakan.
Wanita ini turut mengatakan yang dia telah melepaskan tembakan tanpa sedar dan turut memberitahu mahkamah bahawa dia telah didera secara mental oleh suaminya yang menggunakan duit untuk mengawalnya.
Bagaimanapun, pihak pendakwa raya telah menemui rakaman telefon di mana Betty mengatakan dia berharap agar bekas suaminya itu mati.
Betty telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke seumur hidup. Dia kini ditempatkan di Institusi California untuk Wanita di Chino, California.
Bila ditanya tentang kehidupannya di penjara, Betty mendakwa dia kini lebih bahagia.
Saya lebih bahagia sekarang berbanding bila saya mempunyai kekayaan.”
Kalau korang nak tengok sendiri cerita tentang Betty Broderick ini, korang boleh tengok lakonan semula oleh Amanda Peet di Netflix untuk siri Dirty John Season 2.
Lepas baca cerita ni, korang rasa memang patut Betty buat macam tu ke atau korang tak sokong perbuatan Betty ni?
Sumber: ati
Baca: Guilia Tofana : Wanita Yang Bantu Lebih 600 Golongan Isteri Bunuh Suami Dengan Alat Mekap ‘Beracun’