Ketagihan terhadap penggunaan telefon pintar sekarang semakin menimbulkan kerisauan bukan sahaja kenapa kanak-kanak, malah juga kepada orang dewasa.
Obsesi terhadap gajet ini boleh meragut banyak nyawa tanpa kita sedari.
Kejadian yang berlaku di Simpang Pertang, Jelebu pagi tadi telah menyebabkan nyawa seorang bapa melayang di tangan anaknya sendiri.
Mangsa yang berusia 59 tahun dikatakan maut di tempat kejadian setelah ditikam anaknya pada bahagian hadapan dan belakang badan.
Kejadian berlaku berpunca daripada pertengkaran oleh dua beranak itu selepas ibu mangsa yang berusia 85 tahun keluar berjumpa saudaranya lapor Harian Metro.
“Siasatan awal, ibu mangsa sebelum itu keluar berjumpa saudaranya berhampiran rumah dan tinggal mangsa bersama suspek sebelum berlaku pertengkaran.
“Mangsa dipercayai memukul belakang suspek dengan kerusi plastik sebelum suspek menikam mangsa dengan pisau,” – Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin
Suspek juga dikatakan melarikan diri selepas menikam bapanya, namun berjaya ditangkap 20 minit selepas kejadian setelah jiran melaporkan perkara itu kepada pihak polis.
Menurut jirannya pula, pertengkaran yang dialami oleh dua beranak bukanlah pertama kali berlaku, namun dia tidak menyangka kali ini akan berakhir dengan tragedi hitam.
“Namun kali ini, tidak sangka pula ia berakhir dengan kematian,”
Siasatan masih dijalankan oleh pihak polis dan permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok.