in

Balu Mangsa Kemalangan M*ut RXZ Member 8.0 Layak Terima Faedah PERKESO Sepanjang Hayat

Ft Pampasan Perkeso

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Waris kepada 3 peserta RXZ Member 8.0 yang maut dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sementara seorang lagi peserta yang cedera turut mendapat faedah menerusi skim perlindungan.

Dalam kenyataannya hari ini, PERKESO memaklumkan bahawa Skuad PERKESO Prihatin mendapati bahawa kesemua 4 mangsa yang berusia 20 hingga 47 tahun itu adalah pencarum Aktif Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).


Artikel berkaitan: Tak Pernah’Miss’ Sertai RXZ Members Dari Tahun Pertama, Penganjur Digesa Bagi Anugerah Khas Buat ‘Pak Su Tomoi’

Artikel berkaitan: Lelaki Singapura Tak Dapat Sertai RXZ Members 8.0 Lepas Ditahan Lakukan Aksi ‘Superman’

Kes pertama membabitkan Mohd Fauzi Othman, 44, yang maut selepas motosikal yang ditunggangnya itu terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1) menghala ke Terengganu pada 31 Julai lalu.

“Menerusi caruman dibuat sepanjang arwah bekerja, waris Allahyarham, iaitu balu dan lima anaknya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan.”

Perkeso Pampasan

PERKESO turut memaklumkan bahawa balu akan menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,794.58 sebulan mengikut syer masing-masing.

Balu akan menerimanya sepanjang hayat, sementara anak-anak pula layak menerimanya sehingga mereka berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah pertama.

Berkenaan kematian Zulkanain Mat Said, 39, yang maut dalam kemalangan di Gambang pada 31 Julai, waris layak menerima FPM sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,840.13 sebulan mengikut syer masing-masing.

Dalam pada itu, waris Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Terengganu pada 1 Ogos pula layak menerima FPM dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

“Sebagai pencarum aktif LINDUNG 24 Jam di bawah Akta 4, waris beliau layak menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta pencen bulanan menerusi FOT.”

Memandangkan arwah Muhammad Shahrul belum berkahwin, FPM sebanyak RM 3,000 akan diberikan secara terus kepada waris, sementara FOT yang berjumlah RM1,115.10 akan disalurkan mengikut syer masing-masing kepada ibu bapa mangsa seumur hidup serta tiga adiknya sehingga umur 21 tahun.

Untuk mangsa yang cedera pada bahagian bahu dan kaki kanan kemalangan di Kilometer 294 LPT2, Kemaman pada 31 Julai, Durulmaizi Salamon, 47 menerima Faedah Hilang Upaya Sementara serta Bayaran Ganti Belanja mengikut tempoh cuti sakit dan kos rawatan.

Bagaimanapun, suaminya yang maut dalam kemalangan sama tidak layak menerima sebarang faedah PERKESO kerana bukan seorang pencarum, namun begitu ia akan dirujuk kepada agensi lain menerusi inisiatif Social Synergy.

Oleh sebab itu, PERKESO menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika di jalan raya serta dapatkan perlindungan menerusi LINDUNG 24 Jam bagi memastikan kebajikan diri dan waris terus terpelihara sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.