“Saya buat begitu sebab dah 48 jam tiada ‘update’ pasal ayah. Tapi, bila saya dah masuk, ayah rupanya dah takde.”
Itulah luahan menyayat hati seorang anggota polis di Peru yang menemui bapanya sudah meninggal dunia di atas katil di sebuah wad hospital yang menempatkan pesakit wabak COVID-19.
Jampier Gaspar Montes, 21, ditahan pegawai polis lain yang juga rakan sekerjanya selepas dia menyamar sebagai seorang doktor untuk melepasi sekuriti di Daniel Alcides Carrion Hospital dekat Huancayo, lapor Daily Mail.
Menurut laporan media tempatan, Jampier mendakwa dirinya sebagai seorang nutritionist di hospital berkenaan apabila disoal sekuriti.
Jampier difahamkan berjaya naik sehingga ke tingkat enam hospital terbabit sebelum melarikan diri setelah mendapat tahu mengenai kematian bapanya.
Selepas satu sesi kejar-mengejar pendek, Jampier akhirnya terduduk di hadapan bangunan hospital dan menangis sambil dia membuka Personal Protective Equipment (PPE) yang dipakainya.
Sedang menunggu katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU)
Menurut pihak hospital, bapa Jampier dimasukkan ke hospital pada 9 Februari lalu selepas dia dijangkiti virus COVID-19.
Selain itu, bapa pegawai polis itu juga mempunyai sejarah penyakit kencing manis.
Difahamkan, pegawai perubatan di hospital berkenaan sedang dalam proses untuk memindahkan bapa Jampier ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas kesihatannya mula merosot. Walau bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia selepas alat bantuan pernafasan dicabut.
“Selain bapa Jampier, terdapat 12 lagi pesakit lain yang sedang menunggu katil di wad ICU,” katanya.
Ketua Polis Roger Arista pula berkata, dia memahami perasaan terdesak pegawainya yang mahu bertemu ayah yang sakit sehingga sanggup menyamar sebagai doktor. Tambahnya lagi, kes itu akan disiasat untuk mengetahui sama ada Jampier sedang bertugas atau tidak semasa insiden itu berlaku.
Semantara itu, satu siasatan juga dibuka pegawai kesihatan untuk mengenal pasti sekiranya Jampier mempunyai rakan subahat yang membantunya masuk ke pusat kuarantin berkenaan.
Sumber: Daily Mail