Suasana pilu menyelubungi Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat hari ini apabila lebih 20 orang terkorban dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.45 pagi ini.
Apa yang lebih memilukan ialah salah seorang pelajar tahfiz yang terkorban di dalam kebakaran itu sempat menyampaikan sepucuk surat kepada ibunya semalam, lapor Harian Metro.
Ibu mangsa, Norhayati Khalid, 42, memberitahu, anaknya Amiel Asyraf Abdul Rashid yang baru berusia 11 tahun telah memberinya surat tersebut ketika dia datang melawat mangsa di pusat tahfiz tersebut.
“Saya bawakan makanan kegemaran dia, nasi goreng Pattaya. Sebelum balik dia beri saya surat.”
Menurut Norhayati, isi surat tersebut menjuruskan kepada apa yang terbuku di hati Amiel iaitu untuk menolong dia dan suami masuk ke dalam syurga serta meminta maaf jikalau ada salah dan silap yang pernah dilakukannya. Alahai anak syurga!
Berikut isi surat nukilan Amiel:
“Ibu dan ayah Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu ayah Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini.”
“Amiel tak tahu macam mana nak balas jasa budi ayah dan ibu. Hanya ini saja yang Amiel mampu, masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga Firdaus.”
Sedihnya!
Norhayati mula mendapat perkhabaran mengenai kebakaran tersebut pada jam 6 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Bomba memaklumkan mungkin Amiel adalah salah seorang daripada mangsa kerana dia berada di katil tengah bilik yang terbakar,” katanya bernada pilu.
Buat masa ini seramai 22 mangsa kebakaran disahkan terkorban. Berita sedih itu disampaikan kepada media oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Semoga keluarga mangsa yang terlibat tabah menghadapi dugaan. Al-Fatihah…
Baca: Nota Azam Ramadan Pelajar Tahfiz Maut Dalam Nahas di Kuala Krai Sentuh Hati Netizen