Mahkamah Sesyen Sepang memutuskan pelawak Along Cham dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atas satu pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis.
Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, yang mendengar keputusan itu melakukan sujud syukur ketika berada di kandang tertuduh.
Bagaimanapun, Along didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dan memasukkan dadah.
Artikel berkaitan: Isteri Kongsi Along Cham Pesan Jaga Anak-anak, Perlu Kuat Semangat Tanpa Bantuannya Di Sisi
Artikel berkaitan: Mengaku Tidak Bersalah, Along Cham Berdepan Hukuman Penjara Seumur Hidup Kerana Miliki G*nja
Terdahulu di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memaklumkan, hasil laporan kimia tertuduh, pendakwaan memohon pertuduhan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda dan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh atas Seksyen 39A (1) ADB 1952.
“Pertuduhan kamu bawah seksyen ini (39A(2)) DNAA… kamu akan dituduh di mahkamah majistret kerana pertuduhan kamu diturunkan,” katanya.
Di Mahkamah Majistret, mengikut pertuduhan pertama, Along didakwa dalam milikannya bahan berbahaya jenis kanabis seberat 49.61 gram di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39(a)(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC), di lokasi sama pada jam 10 malam, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dibaca bersama 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Bagaimanapun, Along mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan itu. Dia kemudian dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan terbabit.
Sebutan kes dan laporan kimia bagi kes berkenaan akan disebut pada 7 April depan.
Sumber: Berita Harian