Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih didakwa telah disalahgunakan oleh pihak asing untuk menjalankan operasi manipulasi pengaruh politik yang menyasarkan pengguna di Malaysia.
Susulan dakwaan tersebut, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat teknologi AI, Anthropic, berhubung dakwaan penggunaan teknologi Claude dalam operasi berkenaan.

Menurut jawapan bertulis Kementerian Komunikasi di Parlimen pada 17 November, Anthropic mendakwa teknologi Claude telah digunakan oleh sebuah entiti luar negara untuk membangunkan beberapa komponen operasi tersebut.
Antaranya termasuk sistem penyasaran, akaun media sosial palsu serta laman web berita yang mengandungi maklumat direka-reka.
Anthropic turut mengaitkan operasi berkenaan dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi yang berpangkalan di Istanbul, Turkiye.
MCMC Dapatkan Penjelasan Lanjut Daripada Anthropic

Menurut kementerian itu, Anthropic telah melaporkan bahawa akaun Claude yang dikenal pasti terlibat dalam operasi berkenaan telah ditamatkan dan langkah mitigasi turut dilaksanakan.
Bagaimanapun, MCMC masih memerlukan maklumat lanjut bagi memastikan sebarang penilaian dan tindakan susulan dibuat berdasarkan bukti yang mencukupi.
“MCMC sedang mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan daripada Anthropic berhubung laporan tersebut bagi memastikan sebarang penilaian dan tindakan susulan dibuat berdasarkan maklumat serta bukti yang mencukupi.”
MCMC juga akan menentukan tindakan bersesuaian berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, selaras dengan bidang kuasa serta undang-undang berkaitan.
“Berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian dalam bidang kuasanya dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan.”
Tindakan tersebut termasuk kemungkinan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan, penyedia platform digital serta pihak berkaitan sekiranya diperlukan.
Kerajaan Rangka RUU Tadbir Urus AI
Dalam pada itu, kementerian menjelaskan bahawa sebarang tindakan kawal selia atau penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta undang-undang lain yang berkenaan.
Selain itu, Kementerian Digital sedang merangka Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan bagi memperkukuh kerangka tadbir urus AI negara, termasuk aspek akauntabiliti, pengurusan risiko serta tanggungjawab pihak yang membangunkan dan menggunakan sistem AI.
Kerajaan turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh pemantauan terhadap potensi penyalahgunaan teknologi AI melalui kerjasama dengan penyedia teknologi, platform digital dan agensi berkaitan.
Usaha itu bertujuan menangani kemudaratan dalam talian serta memastikan persekitaran digital negara kekal selamat, telus dan dipercayai.
Sumber: The Star
