Penantian selama lima tahun seorang wanita yang cedera parah sehingga koma akibat dipukul, Jahidah Nordin akhirnya mendapat pembelaan apabila mahkamah menolak rayuan bekas suaminya, Rosmaini Abdul Raof serta menaikkan hukuman penjara daripada 10 kepada 14 tahun.
Adik Jahidah, Fauziah Nordin, 45, berkata walaupun hukuman itu tidak mampu mengembalikan kehidupan normal kakaknya, dia tetap berpuas hati dengan keputusan mahkamah.
“Saya gembira, sedih, semuanya bercampur baur dalam hati ini apabila tahu keputusan hukuman ke atas lelaki itu. Waktu baca berita itu, saya menangis, sebak.
“Mula-mula saya ingatkan hukumannya hanya penjara 10 tahun sahaja. Tetapi apabila baca tajuk, dia dipenjara 14 tahun, saya bersyukur walaupun ia tidak setimpal dengan apa yang dilalui Kak Jahidah,” katanya.

Artikel berkaitan: Rayuan Ditolak, Bekas Suami Jahidah Jalani Hukuman Penjara 14 Tahun
Artikel berkaitan: “Kalau kak boleh bercakap…” – Adik Jahidah Respon Kes Lelaki Belas*h Isteri Hingga Keguguran
Jahidah menitik air mata
Menurut Fauziah, ketika membaca berita tersebut, dia berada di dalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah.
Katanya, sebaik tiba di rumah, dia terus mendapatkan kakaknya dan memaklumkan mengenai hukuman yang dikenakan terhadap Rosmaini.
“Saya segera pulang dan terus dapatkan kakak. Walaupun dia tidak beri respon, tetapi saya beritahu dia mengenai hukuman yang dihadapi bekas suaminya.
“Saya nampak perubahan pada mukanya, kakak nampak lega, tenang dan secara tiba-tiba air matanya menitik. Saya juga tidak dapat menahan perasaan,” katanya.

Tambah Fauziah, mungkin asbab doa orang yang dianiaya juga menyebabkan Rosmaini dikenakan hukuman tambahan dan bayaran ganti rugi sebanyak RM250,000.
Dalam pada itu, Fauziah berpesan kepada wanita di luar sana supaya lebih berhati-hati dengan lelaki seperti Rosmaini.
Sumber: Harian Metro
