Buat mereka yang lahir sebelum tahun 1998, pasti ingat akan satu sejarah di mana Malaysia pernah menjadi tuan rumah bagi antara acara sukan terbesar iaitu Sukan Komanwel.
Untuk pengetahuan, Sukan Komanwel (SUKOM) adalah sebuah acara beraneka sukan (multi-sport event) yang melibatkan atlet dari negara-negara Komanwel. Acara tersebut diadakan buat julung kali pada tahun 1930 dan telah dilangsungkan setiap empat tahun.
Artikel berkaitan: “Top 10!” – Kontinjen Malaysia Di Sukan Komanwel Lepasi Sasaran, Bawa Pulang 7 Pingat Emas!
Artikel berkaitan: “Kena sokong Juventus lah ni” – S.O.G Teruja Lagu Digunakan IG Rasmi Pasukan Juventus
Terbaru, jika mengikut urutan serta undian, Victoria, Australia sepatutnya menjadi tuan rumah bagi SUKOM tahun 2026, namun pihak mereka telah menarik diri bagi penganjuran temasya sukan tersebut.
Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria dan ia dilihat sebagai peluang terbaik apatah lagi ia hadir dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.
Menurut laporan Berita Harian, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia sudah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan.
Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihak kerajaan harus mempertimbangkan tawaran ‘sekali dalam seumur hidup ini’ yang secara langsung akan melakar semula kejayaan Kuala Lumpur 1998 serta kembali meletakkan Malaysia di peta sukan dunia.
“Dengan fasiliti berkelas dunia sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menjadi tuan rumah temasya antarabangsa Komanwel yang membabitkan 74 negara Komanwel dan wilayahnya. Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.
Ia juga bakal meningkatkan taraf sukan Malaysia seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998. Untuk tujuan itu, CGF dan CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” katanya.
Victoria dilaporkan menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Dalam pada itu, Australia juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac, 2026.
Sumber: Berita Harian