Pada waktu tengah hari Ahad lalu, seorang Tentera Udara Amerika Syarikat yang berusia 25 tahun telah membuat siaran langsung menggunakan telefonnya, di luar Kedutaan Israel di Washington, D.C..
Lelaki bernama Aaron Bushnell ini kemudiannya telah berdiri di hadapan pagar kedutaan tersebut sebelum membakar dirinya sambil menjerit “Free Palestine” sebagai protes dahsyat terhadap perang Israel-Hamas yang sedang berlaku di Gaza sekarang.
Kalau korang nak tahu apa yang menyebabkan lelaki ini membuat protes sehingga meragut nyawanya sendiri, jom baca dekat bawah ni:
Artikel berkaitan: Tempat Perlindungan Terakhir Rakyat Palestin Diserang Israel, Ini Apa Korang Perlu Tahu Tentang Rafah Sekarang
Artikel berkaitan: Krisis UNRWA: Banyak Negara Umum Henti Beri Dana Pada Agensi Bantuan Untuk Palestin, Semua Gara-Gara…
Latar belakang Aaron Bushnell
Aaron Bushnell merupakan ahli Tentera Udara Amerika Syarikat yang bertapak di San Antonio. Lelaki ini berasal dari Cape Cod, Massachusetts dan telah menyertai tentera udara sebagai ahli yang aktif sejak Mei 2020.
Di dalam ketenteraan, Aaron bekerja di bahagian teknologi maklumat dan operasi pembangunan. Menerusi page LinkedIn, Aaron menulis bahawa dia sedang dalam proses untuk keluar dari ketenteraan dan mahu masuk dalam bidang kejuruteraan perisian.
Protes dahsyat di Kedutaan Israel
Untuk pengetahuan korang, beberapa jam sebelum lelaki ini bertindak membakar dirinya sendiri, dia telah membuat posting di Facebook dengan memuat naik pautan Twitch dengan kapsyen:
Ramai di antara kita selalu bertanya pada diri sendiri, “Apa yang kita akan buat sekiranya kita hidup pada zaman perhambaan? Atau Jim Crow South? Atau apartheid? Apakah yang akan saya lakukan sekiranya negara saya melakukan pembunuhan beramai-ramai?”
Jawapannya adalah, anda tengah buat perkara tu. Sekarang.
Kemudian, sebelum jam 1 tengah hari pada Ahad lalu, Aaron telah memulakan siarang langsung menunjukkan dia berjalan menuju ke Kedutaan Israel dengan botol yang penuh dengan cecair mudah terbakar.
Di dalam video tersebut, Aaron mengatakan:
Saya tak nak lagi bersubahat dalam aktiviti pembunuh beramai-ramai. Saya akan buat satu protes ekstrem. Tapi kalau nak dibandingkan dengan apa yang dialami oleh orang-orang di Palestin di tangan penjajah mereka, tindakan ini sangat tidak ekstrem. Tindakan ini dianggap normal oleh pemerintah kita.”
Aaron kemudiannya meletakkan telefon bimbitnya di atas tanah dan berjalan ke arah pagar kedutaan sebelum menyimbah dirinya dengan cecair dari botol yang dibawanya sambil berkata, “Free Palestine”.
Lelaki ini dilihat sedang bergelut untuk membakar dirinya sendiri sebelum dia didatangi oleh seorang anggota polis yang bertanya sekiranya dia memerlukan apa-apa bantuan.
Ketika itu, Aaron akhirnya berjaya membakar dirinya sendiri sambil menjerit “Free Palestine”.
Aaron kemudiannya telah menjerit kesakitan dan anggota polis yang berada di sana telah menjerit menyuruh lelaki ini untuk tunduk ke tanah manakala seorang lagi pegawai polis mengatakan yang dia tak perlukan pistol tapi memerlukan alat pemadam api.
Apabila pihak bomba dan EMS tiba di tempat kejadian, api tersebut telah pun berjaya dipadamkan.
Kesan protes dan kematian Aaron Bushnell
Satu laporan mengenai insiden tersebut dari ejen Perkhidmatan Rahsia mengatakan yang mereka telah menerima satu panggilan kecemasan mengenai seorang individu yang dilihat menunjukkan tanda-tanda gangguan mental di luar Kedutaan Israel.
Sebelum pegawai Perkhidmatan Rahsia sempat melakukan sesuatu, [Aaron] telah menyiram dirinya dengan cecair dan membakar dirinya sendiri. Pegawai Perkhidmatan Rahsia kemudiannya telah masuk campur dan memadamkan api sebelum ketibaan jabatan bomba.
[Aaron] kemudiannya dihantar ke hospital tempatan ekoran kebakaran yang dialaminya dari insiden tersebut. Laporan mengatakan, Aaron Bushnell disahkan meninggal dunia pada jam 10:06 p.m. pada hari Ahad.”
Dikatakan, beberapa jam sebelum kematiannya, Aaron telah menghantar emel kepada beberapa wartawan dan laman-laman berita berhaluan kiri dan anarki untuk memberitahu tentang tindakan yang bakal dibuatnya.
Hari ini, saya akan melakukan satu protes ekstrem terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Amaran, ia sangat-sangat disturbing.“
Sementara itu, video live Aaron telah diturunkan oleh Twitch ekoran melanggar terma dan perkhidmatan mereka. Bagaimanapun, versi yang telah disunting kini sedang tersebar di media sosial.
Pihak Perkhidmatan Rahsia, Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan bersama Jabatan Polis Metropolitan kini sedang menyiasat kematian lelaki ini.
Kalau korang nak tahu, tindakan Aaron Bushnell untuk membakar dirinya sendiri sebagai tanda protes bukanlah tindakan pertama yang pernah dilakukan. Pada Disember lalu, seorang wanita juga pernah membakar dirinya sendiri di hadapan Konsulat Israel di Atlanta di mana pihak polis menggambarkan kejadian tersebut sebagai tindakan “protes politik ekstrem”.
Wanita tersebut dilaporkan selamat namun mengalami kebakaran tahap tiga di seluruh badannya dan telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal. Identiti wanita ini tidak didedahkan oleh polis manakala seorang veteran askar berusia 61 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di konsulat tersebut turut mengalami kecederaan parah selepas cuba menyelamatkan wanita tersebut.
Sumber: Intelligencer, BBC