in

5 Resipi Makanan Bazar Paling Popular, Lagi Murah & Senang!

collage 9

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Antara tarikan yang dinanti-dinanti ramai masa bulan puasa ni dah tentulah bazar ramadan kan? Mana tidaknya, kadang-kadang masa bulan puasa je kita boleh dapatkan makanan-makanan kesukaan ramai ketika berbuka, antaranya macam martabak, tepung pelita, ayam percik dan macam-macam lagilah.

Cuma masalahnya, setiap kali kita pergi ke bazar, duit poket kita pun cepat habis sebab terlalu banyak juadah yang dilihat menarik masa perut tengah berbunyi dan harga makanan dekat bazar pun boleh tahan mahal dia!


Jadi, kalau korang rasa nak berjimat pada tahun ni, apa kata korang tengok sendiri resipi-resipi makanan paling popular di bazar ramadan dekat bawah ni. Selain dapat jimat banyak, korang boleh pastikan sendiri makanan yang disediakan ni bersih dan confirm sedap!

Artikel berkaitan: Tak Sampai 30 Minit Siap! 5 Resipi Mak-Mak Boleh Cuba Sepanjang Ramadan

Artikel berkaitan: EKSKLUSIF : Netizen ‘Complaint’ Harga Makanan Di Bazar Mahal & Tak Berbaloi?

1. Martabak daging kulit popia

6057830da6044

Uishhh, martabak ni macam tak sah je kalau tak ada masa berbuka kan? Bila pergi bazar pun kedai dia boleh tahan beraturnya.

Tapi sebenarnya nak buat dia takdelah susah sangat, lagi-lagi bila kita guna kulit popia, bak kata orang tua, campak-campak pun dah siap lah!

Bahan-bahan:

  • 1 paket kulit popia
  • 1 paket keju
  • 2 biji telur
  • Daging kisar
  • 1 biji bawang besar dipotong dadu
  • 1 ulas bawang putih dipotong dadu
  • 1 sdb rempah kari daging
  • 1 sdb rempah kurma
  • 3 biji kentang dipotong dadu dan direbus sehingga lembut
  • 1 ikat daun sup
  • Pati kiub daging/ayam
  • Garam dan gula
  • Minyak masak

Cara memasak:

  1. Panaskan minyak masak dan tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau.
  2. Masukkan rempah kari daging dan rempah kurma yang telah dibancuh dengan air. Tumis hingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan daging. Kacau lagi hingga sebati.
  4. Seterusnya masukkan ubi kentang dan tambahkan sedikit air. Kacau rata dan masak lagi hingga inti kering.
  5. Akhir sekali, perasakan dengan kiub pati daging, garam dan gula dengan secukup rasa. Angkat dan sejukkan inti.
  6. Untuk menyediakan martabak, ambil sekeping kulit popia dan letak di atas papan pemotong.
  7. Letak sekeping keju dan sudukan inti yang dimasak tadi. Ratakan.
  8. Sudukan telur di atas inti dan lipat kulit popia.
  9. Masak popia di dalam kuali yang telah diletak dengan sedikit minyak. Bila popia dah masak, terbalikkan dan masak lagi hingga sempurna.
  10. Siap.

Kredit: Facebook

2. Roti john

IMG 20190401 223316 299

Ni lagi satu juadah bazar ramadan kegemaran ramai. Tapi sekarang ni susah juga nak cari roti john yang inti dia betul-betul penuh. Jadi, better kita buat sendiri je kat rumah kan?

Bahan-bahan:

  • Roti sosej
  • Bawang merah 1-2 biji dipotong dadu
  • 1 ulas bawang putih dipotong dadu
  • 1 sdb rempah kari dicampurkan dengan air
  • Daging cincang
  • 1-2 batang sosej dipotong kecil
  • Telur
  • Daun bawang dan daun sup
  • Telur
  • Garam dan lada sulah
  • Mentega/marjerin

Cara memasak:

  1. Untuk menyediakan inti, tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Kemudian masukkan rempah kari yang sudah dibancuh dengan sedikit air. Tumis hingga rempah masak. Seterusnya masukkan daging cincang. Gaul hingga masak. Masukkan sosej diikuti garam serta lada sulah. Angkat.
  2. Dalam bekas berlainan, pecahkan telur dan masukkan hirisan bawang dan daun sup. Pukul hingga sebati.
  3. Untuk memasak Roti John, satukan bancuhan telur tadi bersama inti yang telah siap dimasak. Ketepikan.
  4. Ambil roti dan belah tengah. Jangan sampai putus. Sapu marjerin kemudian tekap seketika atas kuali.
  5. Dalam kuali yang sama, cairkan mentega / marjerin kemudian tuangkan inti.
  6. Tekapkan roti diatasnya.
  7. Bila inti dah masak, terbalikkan.
  8. Letakkan sos cili, mayones dan letak sayur mengikut citarasa masing-masing.
  9. Akhir sekali lipat roti, potong dan sedia untuk dihidang.

Sumber: Facebook

3. Tepung pelita

cropped Tepung pelita

Tepung pelita ni adalah antara kuih tradisional yang sentiasa popular di bazar ramadan. Kerana teksturnya yang lembut dan rasanya yang manis, memang best sangat kalau dapat makan masa berbuka. Lagi-lagi bila sejuk. Fuh!

Bahan-Bahan:

Lapisan hijau:

  • 7-8 helai daun pandan
  • 5 cawan air
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu kecil air kapur (bancuh cair)
  • 1 cawan gula
  • sedikit pewarna hijau
  • ½ sudu kecil gula (kasar atau halus)

Lapisan santan:

  • 4 cawan santan
  • 5 sudu besar tepung beras
  • garam secukup rasa

Cara memasak:

Acuan daun pisang:

  1. Lap bersih daun pisang yang telah dilayurkan seketika diatas api.
  2. Potong daun pisang dalam bentuk 4 inci lebar lalu tindan dua helai daun pisang kepada dua lapisan.
  3. Gunakan kotak kecil untuk dijadikan acuan. Letak kotak ditengah daun pisang lalu trim bahagian hujung pisang jika terlalu panjang dan lipat kedua-dua bahagian ke kotak dengan kemas.
  4. Tarik keluar kotak kecil lalu klipkan kedua-dua belah bahagian lipatan menggunakan stapler.
  5. Kemudian, trim atau gunting bahagian atas mengikut ketinggian yang sesuai.

Lapisan hijau/pandan:

  1. Kisar halus daun pandan bersama air. Letak air anggaran separuh sukatan dulu untuk mudah dikisar.
  2. Tapis kisaran daun pandan dan tuang kedalam periuk. Masukkan sedikit pewarna hijau (pilihan), air kapur, tepung beras dan gula pasir lalu masak bahan sehingga menjadi pekat dan halus.
  3. Masukkan gula pasir yang dikisar halus kedalam acuan lalu sudukan adunan pandan dalam anggaran setengah acuan.

Lapisan santan:

  1. Masak santan bersama tambahan garam secukup rasa dan tepung beras,
  2. Kacau adunan dengan api perlahan dan masak sehingga pekat serta halus.
  3. Selepas adunan masak dan agak pekat, masukkan kedalam acuan iaitu diatas lapisan pandan.
  4. Sejukkan seketika kedalam peti sejuk dan kemudian tepung pelita siap untuk dihidang.

Sumber: Che Nom

4. Ayam percik

68c205af5fcdf81b2adb330a22ad2d80

Resipi popular yang berasal dari Kelantan ni memang sedap betul! Bila jalan dekat bazar tu, bau ayam percik ni confirm mengancam kan? Jom tengok resipi nak buat ayam percik ni, tak payah korang beli dah!

Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ayam, dipotong 4
  • Bahan untuk kisar halus (perapan):
    • 6 ulas bawang merah
    • 1 batang serai
    • 4 ulas bawang putih
    • 1 sudu kecil garam
    • 2 cm halia
  • Bahan untuk kuah percik:
    • 3 cawan santan pekat
    • 1 batang serai
    • 2 cm halia
    • 4-5 tangkai cili kering
    • 8-10 ulas bawang merah
    • garam secukup rasa
    • gula secukup rasa
    • sedikit asam jawa

Cara memasak:

Cara-cara untuk ayam:

  1. Perap ayam yang sudah dibersihkan dengan bahan kisar halus selama minimum 1 jam setengah. Lagi lama diperap lagi sedap.
  2. Celup ayam di dalam kuah percik dan panggang sehingga masak. Celupkan dengan kuah lagi sekali sebelum dihidang.

Cara- cara untuk kuah:

  1. Kisar serai, halia, cili kering dan bawang merah. Campurkan bersama santan di dalam periuk dan masak di atas api yang sederhana. Teruskan mengacau supaya kuah tidak cepat berketul dan pecah minyak. Perasakan dengan asam jawa garam dan gula.
  2. Masak sehingga kuah menjadi pekat.

Sumber: Che Nom

5. Popia sira

540c9ab9f50f3f749de324828e929dc9461b2524

Popia sira ni memang antara kuih favourite ramai. Rasanya kalau berbuka kuih ni je pun dah cukup dah, tak payah nak makan nasi ke apa kan?

Bahan-bahan:

Kulit popia secukupnya

Bahan untuk lekatkan kulit popia:

  • 2 sudu besar tepung gandum
  • sedikit air

Bahan untuk inti popia:

  • 2 ulas bawang putih, cincang halus
  • 1 biji sengkuang, potong memanjang
  • 1 batang karot, parut kasar
  • sedikit biji kobis, cincang kasar
  • sedikit taugeh
  • 1 biji bawang besar, hiris halus
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar udang kering, tumbuk halus
  • gula dan garam secukup rasa

Bahan untuk sos sira pedas:

  • 2-3 sudu besar minyak masak
  • 1 ulas bawang putih, tumbuk halus
  • 1 ulas bawang merah, tumbuk halus
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 3 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar gula
  • 1 sudu besar cuka makan
  • sedikit garam
  • bijan, disangai atau goreng tanpa minyak

Cara memasak:

Gam tepung:

  1. Bancuh tepung bersama air sedikit demi sedikit sehingga menjadi pes yang pekat.

Cara balut popia:

  1. Ambil sekeping kulit popia. Sudukan inti popia dan balut dengan kemas.
  2. Gamkan bahagian hujung lipatan dengan bancuhan tepung/gam.
  3. Goreng sehingga kekuningan dan rangup. Angkat dan ketepikan.

Sos sira pedas:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang ditumbuk halus sehingga kekuningan.
  2. Masukkan cili kisar dan masak seketika sehingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos cili, gula dan cuka makan. Masak sehingga kuah pekat dan perasakan dengan garam secukupnya.
  4. Apabila sos sudah masak, tuang popia goreng di dalam kuali dan kacau sos sehingga menyaluti semua permukaan popia. Pastikan popia digaul dengan cepat.
  5. Angkat dan susun di atas pinggan. Taburkan dengan bijan untuk hiasan.

Sumber: Che Nom

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.