Amat menggerunkan apabila melihat kejadian ini, perompak semakin berani dan semakin licik menjalankan aktiviti mereka. Satu video yang tular di media sosial kini memperlihatkan 5 orang lelaki dengan beraninya menceroboh rumah seorang pesara berumur 55 tahun.
Mereka menyamar diri mereka sebagai anggota polis, kononnya mahu membuat pemeriksaan di rumah mangsa yang didakwa sebagai makmal dadah. Namun alasan itu digunakan sebenarnya untuk menyamun.
Artikel berkaitan : Ketua Balai Polis Bukit Jalil Dihadapkan Ke Mahkamah, Curi RM 300K & Beg Prada
Artikel berkaitan : Tular CCTV Rakaman Rompakan Di Taman Sri Muda, Wanita Ditikam 8 Kali Oleh Perompak Warga Asing
Dalam video menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berdurasi 58 saat itu menunjukkan suspek menendang pintu rumah sebelum menceroboh masuk.
@tindihkasih
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku di sebuah kawasan perumahan di Semenyih kira-kira jam 5.02 pagi pada Ahad lalu.
Katanya, semasa kejadian itu, 4 lelaki bertopeng termasuk 2 daripadanya memakai ves polis telah memecah masuk ke rumah mangsa seorang pesara berusia 55 tahun, yang ketika itu berada bersama 3 lagi ahli keluarganya.
Dalam pada itu, seorang lagi suspek sedang menunggu di dalam kereta berada di luar rumah tersebut.
“Suspek melarikan barang kemas, dua buah telefon pintar dan wang tunai kira-kira RM500. Kerugian keseluruhan dianggarkan RM9,000.”
Naazron turut memberitahu bahawa pihaknya kini sedang melancarkan satu operasi khas untuk mengesan kesemua suspek. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Tambahnya lagi, suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 170 kanun yang sama kerana telah menyamar sebagai penajwat awam yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih daripada 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber TikTok, Astro Awani