Seorang wanita warga emas kini bertarung nyawa selepas mengalami kecederaan melecur teruk akibat letupan tong gas di sebuah rumah dua tingkat di Taman Kledang Emas, Ipoh, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.57 pagi itu, polis menerima panggilan kecemasan memaklumkan berlaku letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di kediaman berkenaan. Mangsa berusia 63 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur hampir di seluruh badan.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila salah seorang anak mangsa menghidu bau gas yang kuat di dalam rumah sebelum bertindak mengejutkan ibu dan adik perempuannya supaya segera keluar bagi mengelakkan sebarang risiko. Namun, mangsa dikatakan kembali ke bahagian dapur untuk menutup injap tong gas.

Ketika itulah satu letupan secara tiba-tiba berlaku, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan melecur serius termasuk di bahagian muka dan anggota badan. Dua orang anak mangsa bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan, manakala suami mangsa dilaporkan berada di luar rumah semasa kejadian.

Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sumber: Astro Awani
