Seorang kanak-kanak menjadi mangsa apabila rantai leher emas yang dipakainya diragut oleh seorang wanita tidak dikenali di Dataran Stadium Shah Alam, Selangor.
Kejadian kecurian itu dilaporkan berlaku di Jom Heboh dan sempat dirakam secara tidak sengaja oleh ibu saudara kanak-kanak tersebut.
Untuk rekod, video berdurasi selama 17 saat itu sudah pun mempunyai 2.8 juta jumlah tontonan di TikTok.
Menerusi video tersebut, pelaku dipercayai tidak melakukan aktiviti itu seorang diri apabila seorang lagi wanita di sebelahnya seolah-olah memberi isyarat mereka sedang dirakam.
Bagaimanapun, wanita tersebut sempat memotong dan mencuri rantai emas kanak-kanak sebelum melarikan diri.
Dalam satu kenyataan, ibu saudara kanak-kanak itu berkata perkongsian video ini adalah satu bentuk peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati.
“Peringatan untuk saya dan orang lain, hati-hati yang pakai gelang atau rantai emas. Sekarang kes seperti ini sudah banyak berlaku dan saya kena ketika di Jom Heboh Shah Alam.
Anak buah saya pakai baju warna hitam, Mak Cik di belakang potong rantai terus hilang,” tulisnya di ruangan kapsyen video.
@_cheykaa Peringatan untuk saya & orang lain .. hati hati yang pakai gelang emas atau rantai emas .. sekarang kes macam ni dah banyak berlaku , saya kena dekat jom heboh shah alam .. anak buah saya pakai baju warna hitam , makcik belakang potong rantai terus hilang #kesragut #ragut #jomheboh #fyp #viral #shahalam #ipdshahalam #polisshahalam
Hasil tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata warganet meluahkan rasa simpati dengan kejadian berkenaan. Orang ramai turut menasihati agar ibu bapa tidak memakaikan barang kemas pada kanak-kanak agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
“Kasihan adik tu. Dia dah perasan Mak Cik sentuh-sentuh dia, itu yang toleh belakang,” tulis seorang individu.
“Tempat macam ni anak-anak jangan pakai barang kemas sebab ada yang memerhati. Pakaikan emas Korea biar kena ‘prank’,” komen seorang warganet.
Hati-hati di luar sana!
Kredit: Kosmo
BACA: Pasangan Warga Emas Jepun Jadi Perhatian, Selalu Kongsi OOTD Pakai Baju Couple