Tindakan seorang anggota polis trafik yang membonceng seorang nenek dekat Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan dengan motosikalnya telah meraih perhatian orang ramai.
Menerusi video berdurasi 27 saat itu, kelihatan nenek berkenaan turun daripada motosikal polis trafik terbabit dengan perlahan dan berhati-hati.
Orang ramai tidak putus-putus memuji kebaikan pegawai berkenaan dan mendoakan dia diberikan balasan yang setimpal.
Artikel berkaitan: “Terbaik abang polis!” – Tindakan Polis Bantu Orang Awam Kereta Rosak Tengah Jalan Terima Pujian Netizen
Artikel berkaitan: Polis Trafik Jaga Jalan, Bantu Anjing Liar Melintas Buat Ramai Terharu
Perkongsian video itu juga mendapat perhatian dan dimuat naik semula oleh akaun rasmi Facebook Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police).
Susulan keprihatian polis trafik itu, beliau menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Kelantan pada Majlis Penyampaian Pangkat sempena perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Menurut Muhammad Zulhairie, 28, itu pertama kali beliau menerima penghargaan berkenaan sejak bertugas tiga tahun lalu.
Katanya, tidak menyangka pertolongan yang dianggap kecil itu menjadi tular hingga mendapat perhatian pihak atasan.
“Saya ketika itu dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas tugas rondaan dan terserempak dengan wanita berusia lingkungan 80-an berjalan terbongkok-bongkok.
“Dia cuba melintas jalan dan saya bertanya dia hendak ke mana sebelum memberitahu hendak ke masjid berdekatan serta membantu dengan memboncengkannya sejauh dua kilometer,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau membantu atas dasar ihsan sesama manusia dan akan terus menolong orang lain selagi termampu.
Sumber: Sinar Harian, Facebook