Baru-baru ini tular satu rakaman video yang menunjukkan kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan nombor pendaftaran P 45 memotong kenderaan lain secara berbahaya. Difahamkan kenderaan tersebut milik Ahli Parlimen Pengkalan Chepa (PAS), Ahmad Marzuk Shaary.
Dalam video tersebut, kelihatan kenderaan itu memotong di kawasan laluan bergaris kembar, menandakan ia bukan kawasan yang dibenarkan berbuat demikian.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin mengatakan bahawa siasatan mendapati kenderaan itu telah dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun yang juga pemandu kepada bekas timbalan menteri terbabit.
Memetik laporan Malaysiakini, Affandi menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada 2 Julai lalu di Kilometer 67, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Setiu.
“Pada 3 Julai kira-kira jam 7 petang telah dikesan satu video di laman sosial Facebook yang telah ditularkan oleh pemilik akaun Facebook Abu Zaid Al-Harith.”
“Video tersebut memaparkan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam dengan nombor pendaftaran P 45 telah memotong kenderaan lain di garisan berkembar.”
Tambah beliau, pemandu telah memotong kenderaan lain di kawasan garisan berkembar disebabkan ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju bagi mengelakkan daging korban rosak.
Kenderaan itu katanya dalam perjalanan dari Kampung Gunung Bachok di Kelantan dan menghala ke Kampung Sungai Merak Dalam, Bangi, Selangor bagi menghantar daging korban.

Toyota Alphard itu juga dianggarkan membawa daging korban seberat 50kg untuk diagihkan kepada penduduk di kampung tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak polis mengesahkan bahawa pemandu telah mengakui kesalahannya dan akan dipanggil untuk rakaman percakapan hari ini.
Polis juga dalam pada itu telah mengeluarkan saman kepada pemandu kenderaan P 45 di bawah kesalahan R12(3)(A) LN167/59 iaitu memotong di garisan berkembar.
Ini juga bukanlah kesalahan pertama Ahli Parlimen itu yang sebelum ini melakukan kesalahan yang sama kerana berkejar ke lapangan terbang.
Baca : MP Pas Persoal Seragam Jururawat Wanita ‘Ketat & Nampak Bentuk Badan’