Pada 8 Ogos baru-baru ini, seluruh dunia menyambut ‘Hari Kucing Sedunia’ dan sempena hari berkenaan juga, saluran Cartoon Network Asia buat sementara waktu menjenamakan saluran mereka kepada Cat-Toon Network selain menambah kandungan berkenaan kucing sehingga 18 Ogos nanti.
Salah satu kandungan pertama termasuklah tayangan awal siri terbaharu Tom and Jerry di Cartoon Network.
Lebih menarik, dalam episod pertama bertajuk “What’s That Smell”, Tom and Jerry seperti biasa bergaduh disebabkan aroma yang dikeluarkan oleh buah durian!
Episod berdurasi 3 minit 47 saat yang kini tersedia di YouTube di saluran Cartoon Network Asia tersebut difahamkan telah diterbitkan di Singapura, hasil kerjasama dengan Warner Bros. Animation dan sehingga kini mendapat 170 ribu tontonan dan menerima hampir 3 ribu sukaan.
Selain itu, siri yang mempunyai 7 bahagian berkenaan akan memaparkan 2 watak ikonik yang sering bermusuhan ini akan ‘mengenakan’ satu sama lain dengan berlatarkan tempat-tempat di sekitar Singapura.
Pun begitu, tarikh untuk baki 6 lagi episod dalam siri yang pertama kali mendapat kandungan tempatan dalam francais Tom and Jerry berkenaan belum diumumkan lagi dan menurut laporan, akan ditayangkan di saluran Cartoon Network di rantau Asia Pacific dan HBO Go di Asia Tenggara, Hong Kong dan juga Taiwan.
Lebih menarik, sepanjang tempoh menyambut hari kucing sedunia ini, antara kandungan yang memaparkan watak kucing termasuklah Looney Tunes, The Amazing World of Gumball, Unikitty!, Teen Titans Go! dan lain-lain.
Baca : 6 Alat Tulis Legend Yang Kita Pernah Guna Ketika Zaman Sekolah Dulu-dulu