Pelantikan seorang aktivis sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baharu yang dikenali sebagai Marhamah Rosli susulan pengumuman rombakan kabinet kerajaan semalam bagaimanapun menimbulkan beberapa isu berbangkit.
Marhamah sebelum ini dikenali sebagai aktivis yang memulakan gerakan Justice for Zara dan turut mengadakan kutipan dana bagi menampung kos proses inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Menjawab isu berbangkit itu, Marhamah menegaskan bahawa tiada dana yang disalah guna. Katanya, akaun tabung tersebut diasingkan sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah dipengerusikannya.
Artikel berkaitan: “Hannah Yeoh kini..” – PMX Umum Lantikan & Pertukaran Portfolio Baru Dalam Kementerian
Artikel berkaitan: Peguam Ibu Zara Qairina Rayu Pendakwaan 5 Remaja Esok Ditangguh, Tuntut Pertuduhan Lebih Berat

Menurut beliau, tabung itu mempunyai penama tersendiri yang melibatkan ibu Zara Qairina, beberapa peguam, serta jawatankuasa NGO.
Mengenai jumlah dana yang terkumpul, Marhamah mendedahkan kutipan terkini adalah RM254,995.92 dengan baki RM96,059.97 selepas mengambil kira perbelanjaan, termasuk kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina sepanjang persiapan dan perjalanan inkues.
Jelasnya lagi, kutipan dana itu telah mendapat permit daripada Jabatan Ketua Menteri dan dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, selain laporan lengkap sehingga November 2025 telah disediakan.
“Kami memang bersedia untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa (untuk diaudit),” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan terlibat dengan penipuan melibatkan emas seperti yang tular di media sosial, Marhamah menafikannya dan menyatakan bahawa beliau juga menjadi mangsa penipuan serta dikhianati dalam kes berkenaan.
“Saya bukan ejen. Setiap kali dipanggil, kami membuat laporan dan saya sentiasa memberi kerjasama penuh,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
