Umum mengetahui, sebahagian negeri Kelantan kini sedang dilanda banjir, Pasir Mas merupakan daerah yang paling teruk terjejas setakat ini dan sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
Sebuah kisah meruntun hati tular di media sosial di mana seorang wanita memberanikan diri menarik mayat suaminya kemudian meredah banjir sejauh 100 meter kerana bimbang jasad suaminya dibawa arus.
Artikel berkaitan: Sanggup Redah Banjir, Abang Grab Bantu Bersihkan Longkang Tersumbat Untuk Surutkan Air
Artikel berkaitan: Banjir Johor: Wanita Ditemui Lemas Dalam Kereta, Dihanyut Arus Deras
Menurut laporan Buletin TV3, Norzubaila Ramli diberitahu oleh penduduk kampung bahawa suaminya Mohd Kamaruddin Mohamed Yahya terjatuh dari perahu.
Terkejut dengan khabar itu, dia bergegas ke lokasi kejadian dan terlihat suaminya dalam keadaan hampir tenggelam serta tidak sedarkan diri.
“Disebabkan bimbang suami dihanyutkan arus deras banjir, saya memberanikan diri menariknya sendirian sambil menaiki perahu yang dikayuh seorang penduduk.
Ketika itu, saya dapat merasakan suami sudah meninggal dunia kerana dia langsung tidak memberikan sebarang respons. Sebaik saja sampai, saya bersama anak-anak mengangkatnya ke dalam rumah sementara jiran meminta bantuan pihak bomba,” katanya.
Insiden itu difahamkan berlaku kira-kira jam 2 petang semalam dan dia menggunakan tenaganya sendiri untuk menarik bahagian leher suaminya sehingga ke rumah namun dia tidak berdaya untuk mengangkat mangsa ke dalam perahu.
“Saya bersama empat anak beberapa kali memanggil namanya tetapi tidak bersahut.
Sepatutnya, saya mengikut suami untuk melihat pukat di belakang kawasan rumah yang dinaiki banjir mencecah paras lebih dua meter, namun dia menolak dan mahu pergi sendirian,” katanya.
Difahamkan, dia sekeluarga sudah berpindah ke PPS namun suaminya mengajaknya pulang ke rumah sebentar untuk melihat keadaan rumah serta mengambil pukat.
Dia berkongsi, sepatutnya mereka berdua ingin mengangkat pukat itu bersama-sama namun suaminya itu menyuruh dia dan anak-anak untuk tinggal di rumah sahaja.
“Kami akur dan biarkan saja kerana suami sudah biasa memukat di kawasan itu setiap kali banjir.
Kami sekeluarga masih terkejut dengan apa yang terjadi tetapi reda dengan ketentuan Ilahi, selain berharap segala proses menguruskan jenazah dapat diselesaikan segera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan anggota bertugas kemudian membawa mayat mangsa ke Unit Forensik, Hospital Pasir Mas, untuk bedah siasat.
Al-Fatihah…
Sumber: Buletin TV3