Kenapa sampai jadi macam ni? Seorang lelaki tiba-tiba bertindak gila dengan menikam ibunya yang sedang solat tarawih menggunakan pisau di Taman Orkid Permai, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Menurut Sinar Harian, dalam kejadian yang berlaku Isnin lepas sekitar jam 10 malam, pihak polis telah menerima panggilan kecemasan dari seorang lelaki yang memaklumkan ibunya telah ditikam oleh abang kandung.
Selepas menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek berusia 29 tahun yang masih berada di rumah tersebut.
Suspek masih bujang dan tidak bekerja. Ujian saringan air kencing suspek positif dadah namun dia tiada rekod jenayah lampau.
“Kita merampas dua bilah pisau daripada suspek iaitu 31 dan 27 sentimeter panjang berhulu plastik warna hitam,” kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor.
Menurut laporan, ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat tarawih bersama suaminya di ruang tamu sebelum didatangi suspek secara tiba-tiba.
Suspek meluru keluar dari biliknya dengan memegang dua bilah pisau lalu menghala ke arah ibu dan bapanya. Bapanya sempat menolak suspek tapi pisau tersebut terkena pula pada si ibu.
Mangsa yang berusia 56 tahun itu mengalami kecederaan di tangan kiri dan dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk menerima rawatan.
Menurut keterangan mangsa, suspek sebenarnya mempunyai masalah mental semenjak tahun 2016 lagi dan kini dalam rawatan.
“Suspek sudah lebih setahun berkurung di dalam bilik tanpa bercakap dengan sesiapa. Sebelum ini, suspek tidak pernah bertindak agresif terhadap ahli keluarganya.
“Suspek dihantar ke Hospital Jalan Perak di Georgetown untuk tindakan selanjutnya,” kata Noorzainy.
Kes ini disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Baca: Sakit Hati Dengar Ceramah Suruh Solat Berjemaah, Lelaki Tikam Imam Masjid