Pengadil bola sepak dari Malaysia nampaknya terpaksa melupakan hasrat untuk terlibat dalam pertandingan bola sepak paling berprestij, Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar sekiranya mereka tidak mempunyai lesen Video Asisstant Referee (VAR).
Tanpa pengalaman berkaitan VAR, pengadil tempatan bukan sahaja tidak layak untuk bertugas di Piala Dunia dan Sukan Olimpik tetapi tidak berpeluang untuk terpilih bagi mengadili sebarang aksi pertandingan tertinggi di Asia, Asian Football Confederation (AFC) Champions League.
Hal ini disebabkan syarat dan kriteria yang ketat dikenakan FIFA bagi melantik pengadil yang mempunyai pengalaman berkaitan VAR kerana teknologi berkenaan digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, kesemua 36 orang pengadil, 69 orang pembantu pengadil dan 24 pegawai video perlawanan rasmi (VMO) yang dilantik oleh FIFA untuk saingan Piala Dunia Qatar 2022 bermula bulan hadapan mempunyai lesen VAR dan menggunakannya secara konsisten.
Lebih menarik, daripada 24 pegawai VMO yang terpilih, Muhammad Taqi Aljaafari Jahari akan menjadi wakil ke lima dari Singapura untuk ke Piala Dunia kerana VAR digunakan secara meluas di republik berkenaan manakala tiada seorang pun wakil Malaysia.

Menurut Pengajar Teknikal FIFA dan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh, mendedahkan bahawa Malaysia terlepas peluang untuk menamakan pengadil lelaki terbaik untuk bertugas semasa kejohanan Piala Dunia 2022 kerana tidak mempunyai lesen VAR.
Difahamkan, FIFA telah mengeluarkan arahan tidak rasmi di mana mereka tidak akan memberikan lesen kepada negara yang tidak menggunakan VAR. Ini bermakna pengadil kita tidak boleh mendapatkan lesen di luar negara kerana tiada VAR di negara kita sendiri. Kalau nak lesen kita kena mulakan (VAR) di negara sendiri, kata Subkhiddin.
Tambah Subkhiddin lagi, rata-rata pengadil tempatan hanya mempunyai lesen Assistant Video Assistant Referee (AVAR), dan seterusnya tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh FIFA.
Untuk rekod, Subkhidin merupakan pengadil yang berasal dari Malaysia terakhir yang membuat penampilan pada kejohanan tersebut iaitu di Afrika Selatan, edisi tahun 2010.
Sumber : The Sun Daily
Baca : Kisah Disebalik Fesyen Rambut Pelik Jadi Ikutan, Ronaldo Mohon Maaf Kepada Ibu-ibu Seluruh Dunia

