Dulu, Disney sangat terkenal dengan melahirkan bintang kecil yang berbakat sampaikan sebahagian daripada kita pun pernah menyimpan angan-angan untuk berada di tempat mereka.
Memang tidak dinafikan, ramai antara kita membesar bersama watak-watak daripada Disney, sehingga sanggup menonton siri televisyen keluarannya berulang kali tanpa rasa bosan. Malah, ada yang masih boleh terikut menyanyi setiap kali lagu-lagunya dimainkan.
Bila bintang-bintang kecil Disney ni mula meningkat dewasa, ramai antara mereka mula mencari identiti sendiri di luar perwatakan yang pernah melekat dengan nama Disney. Hal ini kerana, ia diibaratkan sebagai cara mereka untuk membuktikan yang mereka bukan satu imej yang dibentuk oleh Disney, tetapi individu dengan suara dan pilihan sendiri.
Tapi bila diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri mula diberikan, ada pula yang tiba-tiba berubah menjadi seorang pemberontak demi nak membuktikan yang dia bukan lagi kanak-kanak seperti yang kita kenal.
Yang paling membimbangkan, kadang-kadang tindakan sesetengah bintang kecil ni bukan sekadar mencetuskan kontroversi sahaja, malah menimbulkan kebimbangan sebab kita sebagai penonton biasa pun risau dengan keadaan mereka yang boleh terjerumus sejauh itu. Lebih-lebih lagi bila kita pernah membesar dengan watak mereka yang suatu ketika dahulu pernah disayangi ramai.
Dan perkara ini secara tak langsung menjadi perbualan hangat dalam kalangan warga internet serta tercetusnya beberapa persoalan seperti, Disney ni ada ‘curse’ ke? Sebabnya hampir kesemua bintang kecil Disney mula berubah semenjak meningkat dewasa.
Jadi untuk artikel kali ini, siapakah bintang kecil Disney yang pernah mencetuskan kontroversi bila dah dewasa?
Artikel Berkaitan: Bukan Keluarga Beckham Je, Ini 4 Selebriti Yang Rupanya ‘Tak Ngam’ Dengan Keluarga Sendiri – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: “Keluarga saya tak pernah hormat isteri saya” – Ini Apa Yang Korang Perlu Tahu Tentang Konflik Keluarga Beckham – Lobak Merah
1. Miley Cyrus

Siapa je yang tak kenal Hannah Montana, seorang gadis biasa yang menjalani kehidupan sebagai pelajar biasa di siang hari seperti orang lain, tapi dalam diam sebenarnya seorang idola terkenal. Siri televisyen inilah yang menjadikan nama Miley Cyrus melonjak naik dan bintang remaja Disney yang paling diminati pada ketika itu.
Namun sebaik sahaja siri Hannah Montana melabuhkan tirainya pada tahun 2011, kehidupan Miley berubah secara drastik. Daripada sentiasa berada di bawah pengawasan produksi dan media, tiba-tiba dia diberikan kebebasan untuk menetukan hala tuju sendiri, termasuklah untuk menjadi diri sendiri.
Tapi tiada siapa sangka yang perubahan berikut akan dizahirkan melalui perwatakan yang jauh berbeza daripada imej Hannah Montana yang pernah membesarkan namanya suatu ketika dahulu.
Kemuncak perubahan Miley paling ketara dapat dilihat ketika kemunculannya di MTV Video Music Awards 2013. Aksinya di pentas bersama Robin Thicke pada waktu itu mengejutkan ramai orang ekoran perbuatannya yang terlalu kontroversi.
Tidak lama kemudian, video muzik Wrecking Ball dilancarkan dan terus mencuri perhatian ramai apabila Miley tampil berani dengan pakaiannya yang jauh menyimpang daripada imej sopan dia dahulu.
Ramai beranggapan yang perubahan Miley ini bermakna era Hannah Montana sudah berakhir sepenuhnya. Miley turut mengakui yang imej tersebut sebenarnya sedikit sebanyak memberi kesan mendalam terhadap hubungan dan emosi keluarganya.
2. Demi Lovato

Demi Lovato mula dikenali menerusi filem Disney Camp Rock yang ditayang pada tahun 2008. Tapi disebalik senyuman manisnya di hadapan skrin, Demi sebenarnya sudah lama bergelut dengan masalah peribadi yang tak ramai tahu.
Antaranya adalah isu dibuli, imej badan dan kecenderungan untuk menyakiti diri sendiri sudah lama menghantui dirinya sejak kecil lagi. Difahamkan juga yang sepanjang membesar, dia menyaksikan ibunya sendiri turut berjuang dengan masalah makan.
Popularitinya juga terganggu pada 2010 apabila Demi bertindak untuk menumbuk seorang penari latar yang telah melaporkan penggunaan dadah jenis Adderall kepada pihak pengurusan. Perkara ini telah menyebabkan Demi menerima rawatan dan diagnosis bipolar disorder dan bulimia pada umur 18 tahun.
Diagnosis itu sebenarnya sedikit sebanyak membawa kepada kelegaan sebab sekurang-kurangnya tingkah lakunya yang tak menentu akhirnya mempunyai penjelasan disebaliknya.
Pada tahun 2018, Demi telah melancarkan sebuah lagu bertajuk Sober yang mana Demi mengaku dia kembali menggunakan bahan terlarang selepas cuba untuk berhenti. Beberapa minggu kemudian, Demi dibawa ke hospital apabila ditemui rebah di rumahnya.
Pihak hospital turut menyatakan yang andai kata Demi tidak dijumpai dalam lima hingga sepuluh minit lagi, Demi berkemungkinan tidak sempat diselamatkan dan akibat kejadian itu juga telah menyebabkan dia alami kerosakan otak, tiga strok serta serangan jantung.
3. Orlando Brown

Bagi siapa yang pernah membesar dengan siri televisyen Disney, That’s So Raven, pasti akan kenal watak Eddie Thomas yang telah menghiburkan siri tersebut sepanjang empat musim.
Walaupun Orlando Brown nampak seolah-olah telah berjaya dalam dunia hiburan, tapi secara realitinya, dia merupakan antara contoh bintang kecil Disney yang paling memilukan.
Pada tahun 2007, dia telah ditangkap sebab memiliki ganja dan sejak itu, masalahnya semakin meruncing. Kehidupannya terus-menerus menjadi sukar dengan tuduhan keganasan domestik, pemilikan methamphetamine hinggalah ke dia diburu sebab gagal untuk hadir ke mahkamah.
Pada tahun 2018, Orlando dilihat muncul dalam rancangan Dr. Phil dengan mendakwa yang Michael Jackson adalah bapanya dan membuat kenyataan lain yang sekaligus menunjuk betapa jelas kesihatan mentalnya pada waktu itu telah merosot.
Pada 2022 pula, dia telah ditangkap di Ohio kerana didakwa telah mengacam seseorang dengan menggunakan tukul dan pisau. Pada waktu itu, Orlando dikatakan tidak lagi mempunyai rumah dan tinggal bersama dengan saudara untuk mengelak dihantar ke pusat perlindungan.
4. Jake Paul

Mungkin siri televisyen Bizaardvark tidak menjadi kegemaran ramai seperti siri yang lain, tapi rancangan inilah yang membuka pintu buat Jake Paul yang kini merupakan seorang petinju profesional.
Pada awalnya, Jake memulakan kerjayanya menerusi aplikasi Vine dan kemudiannya mendapat watak sebagai Dirk Mann selama dua musim sebelum Disney menamatkan kontraknya pada tahun 2017.
Difahamkan, Jake dipecat sebab jiran-jirannya di Los Angeles telah membuat aduan kepada pihak berita yang mana keadaan rumah sewanya telah diubah menjadi sebuah operasi menghasilkan kandungan video tanpa henti oleh Team 10.
Antara kekacauan yang dilakukan adalah mereka membakar perabot di kolam renang yang dikeringkan, perlumbaan dirt bike di jalanan sampailah ribuan peminat remaja yang menyekat laluan trafik di sekitar kawasan perumahan.
Apabila pihak berita datang untuk membuat liputan di lokasi tersebut, Jake telah bertindak untuk memanjat van mereka. Insiden inilah yang menyebabkan Disney terpaksa membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya walaupun kenyataan rasminya ditulis sebagai mutual parting atau berpisah atas persetujuan bersama.
Selepas insiden itu, Jake pun membuat haluan sendiri dengan menjadi seorang petinju profesional seperti mana yang ramai kenal hari ini.
5. Selena Gomez

Dalam banyak-banyak bintang kecil Disney, Selena Gomez adalah antara selebriti yang paling ramai ikuti di media sosial. Tapi bagi yang membesar dengannya pasti akan ingat perjalanan kerjayanya yang bermula sebagai Alex Russo dalam Wizards of Waverly Place.
Semenjak membesar, Selena memang tidak pernah terlepas daripada bualan gosip dan berita sensasi yang datang dalam pelbagai naratif yang jauh menyimpang daripada realiti sebenar kehidupannya, belum lagi ditambah dengan gosip tentang hubungannya dengan Justin Bieber yang selalu menjadi tumpuan media pada waktu itu.
Tapi pada tahun 2017, Selena pernah mendedahkan di media sosial bahawa dia telah menjalani pemindahan buah pinggang akibat komplikasi lupus dan rakannya, Francia Raisa telah menderma buah pinggangnya terhadap Selena.
Namun beberapa tahun kemudian, sekitar tahun 2022, Selena mendedahkan dalam sebuah temu bual bersama Rolling Stone yang dia tidak mempunyai ramai kawan dan satu-satunya kawan dia pada waktu itu cumalah Taylor Swift.
Sebaik Francia mendapati saja berita itu, terus bertindak untuk tidak mengikuti Selena di Instagramnya lagi. Selena kemudian membalas dengan permohonan maaf yang ringkas kerana tidak menyebut semua nama yang dia kenal.
Maaf sebab tak sebut semua orang yang saya kenal,” komennya di TikTok.
6. Justin Timberlake

Justin Timberlake dan Britney Spears pertama kali bertemu ketika mereka berusia 11 tahun di set The Mickey Mouse Club versi 90-an. Namun, khabar angin tentang hubungan percintaan mereka mula timbul pada tahun 1998, tapi kedua-duanya sentiasa nafikan.
Menjelang 2000, Justin dan Britney memang jelas semakin rapat dan hubungan mereka menjadi perhatian ramai, tetapi tiba-tiba mereka mengumumkan perpisahan pada tahun 2002. Justin mendedahkan bahawa putus cinta itu sangat menyakitkan baginya.
Sebaliknya, Britney pula mendedahkan yang Justin sebenarnya telah curang dengan seorang selebriti yang lain iaitu Nicole Appleton dari kumpulan All Saints. Dalam penulisan memoirnya The Woman In Me, Britney mendedahkan yang dia pernah menjalani pengguguran sepanjang hubungannya bersama Justin.
Justin nampak sangat tak suka dengan kehamilan itu. Dia cakap yang kami belum bersedia untuk mempunyai bayi dalam hidup kami dan kami terlalu muda.”
Kemudian, Justin dikatakan telah menjalin hubungan serius dengan pelakon Cameron Diaz pada tahun 2003 yang mana turut mendapat liputan meluas. Hubungan mereka memang nampak mesra di mata media, tapi konflik mula timbul bila Justin memilih Scarlett Johansson untuk membintangi dalam salah satu video muziknya.
Ada khabar angin yang mengatakan perkara itu tidak disenangi oleh Cameron Diaz dan ada juga yang mengatakan Justin pernah menjalinkan hubungan dengan Zoe Gregory semasa dia masih bersama Cameron.
7. Zac Efron

Zac Efron paling dikenali melalui wataknya sebagai Troy Bolton dalam filem keluaran Disney iaitu High School Musical yang ditayangkan pada tahun 2006.
Bakatnya yang menonjol dan wajah kacaknya menyebabkan dia cepat melonjak naik ke dalam hiburan, namun populariti itu tidak selalu berjalan lancar seperti ramai sangkakan.
Pada tahun 2014, Zac Efron terpalit dalam satu skandal besar yang berkait rapat dengan penyalahgunaan dadah yang akhirnya memaksa dia untuk mendapatkan rawatan di pusat pemulihan.
Kejadian itu membuka mata ramai orang tentang cabaran sebenar yang dihadapi oleh selebriti dalam menyeimbangkan kehidupan yang popular dengan kehidupan peribadi masing-masing.
Sebenarnya kalau kita fikirkan balik pun, kebanyakan mereka memang terpaksa menempuh pelbagai cabaran bila membesar di bawah mata awam, di mana setiap langkah mereka sentiasa diperhatikan. Setiap satu kesilapan je pasti akan mudah jadi perbualan hangat, sedangkan kita semua memang tak pernah lari daripada kesilapan.
Sumber: Go2Tutors, The Shot, Bollywood Shaadis
