Sejak Ahad lalu, Gurdwara Sahib di Petaling Jaya bersama ramai sukarelawan dari pelbagai bangsa telah membantu lebih 40,000 mangsa banjir dengan menyediakan makanan panas berasaskan sayur-sayuran.
Namun begitu, beberapa netizen telah mempersoalkan status halal makanan tersebut kerana ia dimasak di rumah ibadat sikh dan diberikan kepada mangsa banjir yang beragama Islam.
Menjawab kekeliruan netizen, bekas Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad mengatakan makanan yang disediakan itu halal selagi ia tidak melibatkan haiwan sembelihan.
Dear Datuk, thank you for this. We hope you can drop by Gurudwara Sahib Petaling Jaya to see the relief works. Our President, En Awatar Singh Terry would be delighted to host your visit. Thank you
— SikhInside (@SikhInside) December 21, 2021
Ekoran pencerahan ini, Gurdwara Sahib telah menjemput Dr Zul untuk melawat tempat ini bagi melihat sendiri penyediaan makanan dan bantuan yang dibuat di sana.
Menerusi Twitter, Dr Zul memberitahu yang dia telah menerima jemputan tersebut dan telah pun singgah ke gurdwara tersebut bagi memberikan sokongan serta sumbangan.
Menurut bekas mufti ini, melihat sendiri penyediaan juadah untuk mangsa banjir ini berasa kagum dengan cara mereka dan tempat yang dilihat sangat bersih dan kemas.
Terima kasih kepada Presiden Gurdwara Sahib PJ, En. Awatar Singh Terry dan seluruh Jawatankuasa GSPJ atas jemputan yang disampaikan kepada saya. Saya dibawa meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir daripada dapur sehingga ke meja bungkusan. Amat bersih dan kemas. pic.twitter.com/XFpnrGg8Po
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) December 22, 2021
Dr Zul sekali lagi menerangkan bahawa penganut Sikh mengamalkan diet vegetarian dan hukum bagi orang Islam untuk makan makanan daripada bukan Muslim adalah dibolehkan selagi ia tak melibatkan haiwan sembelihan.
Saya amat kagum melihat pengurusan sistem agihan bantuan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa. Semuanya tersusun dan lengkap dengan dokumentasi. Ini amat penting bagi menjamin integriti dan profesionalisme. pic.twitter.com/12z1rSeKjj
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) December 22, 2021
Dr Zul mewakili Muslim Elders Malaysia dan Surau Al-Makrifah turut memberikan sumbangan kepada gurdwara ini bagi membantu menyediakan makanan untuk mangsa banjir.
Rata-rata netizen memuji tindakan Dr Zul yang datang sendiri ke sana dan meyakinkan ramai orang lagi dengan status halal makanan yang disediakan.
Harapnya dah tak ada isulah lepas ni ya? Yang penting mangsa-mangsa banjir dibantu. Syabas Dr Zul!
Baca: “Tak ada masalah, asalkan” – Bekas Mufti Wilayah Ulas Hukum Makan Hidangan Dari Non-Muslim