Uniknya menjadi rakyat Malaysia, bila muncul krisis besar seperti banjir kilat yang sedang kita hadap sekarang, masing-masing saling berganding bahu membantu satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama.
Sebelum ini, tular di laman sosial berkenaan sebuah kuil Sikh di Petaling Jaya yang mengedarkan makanan secara percuma kepada golongan yang memerlukan bantuan akibat banjir.
Walaupun perbuatan mereka dianggap mulia, namun ada juga sesetengah pihak berasa was-was berkenaan status makanan tersebut kerana dimasak dan dihidangkan oleh orang bukan Islam.
Jawapan dari Dr. Zulkifli
Terpanggil untuk menjawab persoalan tersebut, bekas mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsikan hukum memakan makanan tersebut melalui ciapan di akaun Twitter peribadinya baru-baru ini.
Ya. Tidak ada masalah untuk makan hidangan yang disediakan bukan Muslim yang bukan ahli kitab (People of the Book) selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka. Terima kasih kepada saudara kami yang beragama Sikh atas bantuan yang dihulurkan. God bless them. https://t.co/BP7ix7956w
— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) December 21, 2021
Menurut ciapan tersebut, Dr. Zul menegaskan bahawa tidak menjadi masalah bagi orang Islam untuk makan hidangan yang disediakan. Namun, hidangan itu tidak boleh melibatkan mana-mana haiwan yang disembelih oleh golongan non-muslim.
Menyambung ulasannya terhadap isu tersebut, Dr. Zul turut menambah perkara ini terpakai dalam isu agihan bantuan atau rumah terbuka dari rakan-rakan berbeza agama yang majoritinya jelas berkenaan konsep halal.
Fahami konsep darurat
Apabila disoal mengapa perlu dititik beratkan berkenaan haiwan sembelihan yang tidak boleh dimakan walaupun dalam keadaan darurat, Dr. Zul menyatakan bahawa ulasannya adalah berlandaskan panduan agama dan bukanlah mengikut kehendak sesiapa.
Islam menyediakan panduan lengkap berkenaan ‘darurat’ dan ia tidak berpandukan kayu ukur kita sendiri.”
Beliau kemudiannya turut berkongsikan asas darurat yang membolehkan perkara haram dalam ciapan selanjutnya.
Asas darurat yg membolehkan perkara yg haram:
1. Benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata.
2. Langsung tidak ada jalan lain.
3. Pilih mudarat yang ringan.
4. Melakukannya sekadar yg perlu.
5. Dlm konteks kenegaraan, pemimpin bertanggungjwb.— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) December 21, 2021
Dalam konteks isu asal, mangsa banjir masih lagi boleh menerima makanan yang diberi kerana dikatakan majoriti makanan yang disediakan oleh kuil tersebut adalah berasaskan sayuran.
Meskipun berada dalam keadaan sukar, tidak semua keadaan dan situasi darurat boleh dikatakan sama. Oleh itu, hukum syarak masih lagi perlu dirujuk mengikut situasi darurat, sama ada ia perlu ataupun tidak.
Salute kepada non-muslim yang edarkan makanan tu! Bukan sekadar baik hati, malah pasal hukum pun diorang peka. Respect!
Baca: Kecoh Isu Penggunaan Organ Khinzir Kepada Pesakit Manusia, Ini Penjelasan Dr Zulkifli…