Hebat penangan gerakan #BlackLivesMatter di Amerika Syarikat ni, sampai terbawa-bawa ke Asia Tenggara.
Kalau kita perhati di media sosial, ketika isu kematian George Floyd menjadi pencetus kepada protes besar-besaran di negara Uncle Sam tu — ada segelintir dalam kalangan netizen kita yang cuba nak kaitkan isu ini dengan sentimen perkauman di Malaysia.
Tak kurang, ada juga yang tak sensitif dengan isu tersebut hingga jadi bahan kecaman netizen.
Itu baru di Malaysia. Tapi di Indonesia, lain ceritanya apabila kematian Floyd membuka peluang kepada pejuang hak asasi manusia di sana untuk mengadaptasi #BlackLivesMatter kepada #PapuanLivesMatter.
Memetik laporan Asia Pacific Report, ramai rakyat Indonesia menyokong bantahan terhadap kematian Floyd namun pada masa sama — mereka lupa bahawa penduduk di Papua juga menerima layanan berunsur perkauman di republik itu.
Kalau ada yang lupa, penghujung tahun lalu wilayah Papua dilanda rusuhan berminggu-minggu lamanya sehingga puluhan jadi korban — gara-gara seorang guru mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman hingga mencetus kemarahan penduduk tempatan.
Bagaimanapun dalam laporan Jakarta Post, ramai yang kurang senang ketika isu #PapuanLivesMatter ini cuba untuk ditrendingkan di Indonesia dan wujud usaha untuk ‘mendiamkan’ gerakan ini.