Sudah menjadi trend anak muda zaman sekarang untuk merakam skill atau perkara menarik yang mereka miliki dan memuat naik perkara tersebut di media sosial sebagai ‘content’ buat tatapan netizen ramai.
Namun begitu, berhati-hati dalam memuat naik sebarang video tambahan pulak kalau ia sesuatu yang merbahaya kerana ia mungkin boleh menjadi bukti buat pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap anda seperti apa yang berlaku kepada seorang instafamous ini.
Menurut Harian Metro, seorang wanita baru-baru ini telah memuat naik videonya menunggang RX-Z di media sosial.
Walau bagaimanapun, video tersebut mendapat perhatian pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah mengeluarkan saman terhadapnya kerana telah melanggar peraturan jalan raya.
Sekarang ramai rakam video menaiki kenderaan sebagai kandungan di media sosial. Tapi kalau langgar undang-undang, ia jadi bukti kepada kami untuk ambil tindakan,” kata Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.
Menerusi video berdurasi 14 saat tersebut, wanita berpakaian kebaya merah dilihat mempamerkan kecekapannya menunggang RX-Z dekat Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun.
Klik sini untuk lihat video.
Pihak JPJ katanya sudah memanggil wanita tersebut dan dia mengakui kesilapannya sebelum menjelaskan denda bagi dua kesalahan iaitu tidak memakai topi keledar dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang bernilai RM370.
Menurut Zulkarnain, JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya.
“Jika kami menerima laporan bergambar atau video berkaitan kesalahan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar atau memaparkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kami akan menjalankan siasatan.
“Walaupun video dan bukti itu daripada media sosial peribadi, tindakan akan diambil ke atas pemilik kenderaan.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda RM2,000 bagi setiap satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Oleh itu tambahnya lagi, pengguna jalan raya haruslah sentiasa peka dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Hmm lain kali janganlah muat naik apa-apa video yang boleh menyebabkan anda disabitkan kesalahan. Berhati-hati di jalan raya.
Baca: Rakam Video Dan Hantar Surat Saman Ke Rumah, Ini Cara Baru JPJ Tangkap Pesalah Trafik