Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan oleh pihak bomba untuk mencari mangsa-mangsa tanah runtuh Batang Kali telah pun memasuki hari kedua.
Walau bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor iaitu Datuk Norazam Khamis, peluang untuk menjumpai mangsa-mangsa yang hilang yang masih belum ditemui setakat ini amat nipis, lapor Harian Metro.
Ini kerana menurutnya, keadaan kawasan runtuhan tersebut yang berbatu, berlumpur dan runtuhan tanah juga tebal.
Tambahnya lagi, masih terdapat aliran air di bawah tanah di kawasan runtuhan berkenaan dan ini boleh menyebabkan gelongsoran.
Namun, dalam masa yang sama, jika ada ruang pada tanah yang tertimbus, pihak mereka tetap tidak menolak kemungkinan jika ada mangsa yang masih hidup.
Difahamkan, dari 94 mangsa yang terlibat, seramai 10 orang lagi mangsa masih belum ditemui setakat ini (ketika artikel ini ditulis).
Apa-apa pun, sama-sama kita doakan agar semua mangsa yang masih belum ditemui agar segera diselamatkan. Semoga ada keajaiban yang berlaku.
Sumber: Harian Metro