Tidak ada mood untuk bekerja? Badan rasa lesu, penat dan kurang motivasi? Sekiranya anda mengalami masalah ini, sudah tiba masanya untuk anda ‘pecahkan’ kepompong dan cuba berubah ke arah yang lebih baik. Ada banyak cara meningkatkan motivasi diri. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan, berubah bukanlah sesuatu yang mudah.
Dalam artikel kali ini, kami akan jelaskan beberapa cara meningkatkan motivasi supaya anda boleh lebih fokus dan dapat menjadi insan yang lebih baik. Jom baca!
7 Cara meningkatkan motivasi diri
Sebenarnya, anda tidak perlu paksa diri untuk kekal bermotivasi dalam kehidupan seharian.
Mulakan dengan langkah kecil, catatkan ‘goal’ anda dan cuba bergerak perlahan-lahan untuk mencapai cita-cita tersebut.
Dengan cara ini, anda tidak mudah ‘burnout’ sekiranya terpaksa melakukan perkara yang sama berkali-kali.
Langkah yang perlu anda lakukan untuk kekal bermotivasi:
1. Tetapkan tujuan atau ‘goal’ untuk pupuk motivasi diri
Apabila anda mempunyai goal tertentu, anda akan berusaha lebih keras untuk mencapainya.
Kalau boleh, cuba tulis apa yang anda ingin capai pada tahun ini. Fokus pada perkara yang anda boleh capai. Semua ini boleh menjadikan anda lebih bermotivasi.
Masa paling baik untuk mulakan sesuatu yang baharu adalah pada 1 Januari. Kenapa? Pada waktu inilah, semua orang mula memasang azam tahun baharu.
Lebih menarik lagi, mengikut statistik, kebanyakan mereka yang mula pergi ke gim, atau belajar bahasa baharu pada tahun baharu selalunya lebih bersemangat dan berjaya mengekalkan motivasi mereka dalam satu jangka masa yang lebih panjang!
2. Lakukan perkara yang diminati
Jangan paksa diri untuk mengejar sesuatu yang anda tidak minat.
Besar kemungkinan, anda akan jadi lebih bermotivasi sekiranya melakukan sesuatu yang disukai dan bukannya apa yang orang lain mahukan.
3. Beritahu orang lain apa yang anda ingin capai
Macam berlagak pula kan? Tetapi, jika anda kongsi cita-cita anda dengan orang lain, anda lebih berkemungkinan untuk mengotakan kata-kata tersebut.
Manakan tidak, kalau dah cerita dekat orang, mestilah kita akan pastikan semua itu bukan sekadar ‘omong kosong’ bukan?
4. Catat dan raikan segala kejayaan, besar atau kecil
Sekiranya anda mempunyai cita-cita tertentu, mudah untuk anda rasa ‘burnout’, lebih-lebih lagi jika anda sudah bekerja keras dalam satu tempoh yang sangat lama.
Jadi, cuba catat segala kejayaan anda walaupun kecil. Ini semua adalah bukti bahawa anda sudah selangkah lebih dekat dengan cita-cita yang ingin dikecapi.
Kalau ada duit lebih, tak salah jika anda ingin meraikan kejayaan tersebut. Keluar jalan-jalan, beli kopi atau makan sesuatu yang anda inginkan. Tidak salah asalkan anda tidak membazir.
5. Buat satu-satu untuk pastikan motivasi diri tak terpadam
Apabila anda ingin mulakan sesuatu yang baharu, jangan paksa diri dan mulakan dengan langkah kecil. Jika anda terlalu memaksa, besar kemungkinan motivasi diri akan cepat terpadam
Bina pelan jangka panjang. Pecahkan pelan tersebut kepada bahagian yang lebih kecil supaya ia lebih mudah untuk dicapai.
Contohnya, anda ingin menabung. Cuba buat pelan dan simpan secara perlahan-lahan tetapi dengan berdisiplin. Lama-kelamaan, pasti anda akan dapat menyimpan wang seperti apa yang diinginkan.
6. Jangan lakukannya seorang diri
Benar, kita ingin membina motivasi diri kita. Tetapi, itu tidak bermaksud anda perlu lakukannya seorang diri.
Luahkan perasaan dan minta pertolongan orang lain sekiranya perlu. Kadangkala, orang lain yang mempunyai pengalaman yang hampir sama boleh memberi ‘lonjakan’ yang anda perlukan.
Kata-kata semangat dari ahli keluarga, kawan-kawan dan orang lain juga dapat membantu meningkatkan motivasi diri. Jadi, jangan pendam ya! Luahkan semuanya!
7. Akhir sekali, bersyukurlah
Amalan bersyukur sebenarnya dapat meningkatkan motivasi diri.
Ia boleh memupuk sifat empati dan juga semangat untuk belajar dalam diri anda.
Malah, orang yang bersyukur juga didapati mempunyai kesihatan mental yang lebih baik. Mereka juga tidur dengan lebih lena!
Senang je kan? Jangan lupa, lakukan semuanya mengikut kemampuan. Kalau anda hendak berubah dan tingkatkan motivasi diri, inilah masa yang paling sesuai!
Lebih cepat, lebih bagus!
Baca: Kajian Tunjuk Isteri Lagi ‘Stress’ Dengan Suami Berbanding Anak-anak Sebab…