Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meluahkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung sistem sokongan latihannya di sini.
Lapor Awani, pihak tersebut berjanji untuk memberikan sistem sokongan yang lebih baik dari Melbourne, namun sehingga kini masih sepi.
Tidah mahu salah faham berlaku, Azizulhasni tampil menjelaskan situasi sebenar mengenai masalah yang dihadapinya sejak kembali ke tanah air pada penghujung Januari lalu.
View this post on Instagram
Berharap sistem sokongan di Malaysia setara di Melbourne tetapi…
Menurut Azizulhasni, beliau tiada masalah untuk kembali semula mengadakan latihan di sini setelah dipujuk MSN tetapi baginya harus ada sistem sokongan di Malaysia yang setara ataupun lebih baik berbanding di Melbourne. Namun sehingga kini, masih tidak ada jalan penyelesaian dilakukan.
Jelasnya, beliau lebih selesa untuk tinggal dan berlatih di Melbourne dengan tenang dan tanpa gangguan pelbagai perkara seperti ‘politik sukan’ yang berlaku di Malaysia.
Tambah beliau, walaupun beberapa siri perbincangan diadakan dan sehingga dia kembali ke tanah air, masih tidak ada sebarang jalan penyelesaian.
“Perbincangan dan perjumpaan dengan wakil saya telah berlangsung lebih 10 kali dan jawapan yang diterima amat mengecewakan. Tersangat tidak profesional dan hanya membiarkan perkara tergantung dalam jangka masa yang amat lama.
“Bagi saya amat mudah, kalau tidak dapat support system yang bagus, lebih baik saya pulang berlatih di Melbourne. Hanya tinggal setahun lebih sahaja sebelum Olimpik Paris 2024,” luahnya.
Bukanlah beliau tidak suka mengadakan latihan di sini tetapi sebagai atlet bertaraf dunia, berlatih di Melbourne membuatkan beliau lebih fokus tanpa gangguan mana-mana pihak.
Pun begitu, beliau menegaskan isu yang dibangkitkan ini melibatkan segelintir individu dalam MSN.
Pada akhir hantaran di Facebook, beliau sedang menunggu hasil keputusan selepas perkara itu telah dibawa kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan dan juga jawatankuasa Program Road to Gold.
Dalam hantaran itu juga, beliau ada menyentuh beberapa isu seperti kelewatan bayaran elaun atlet dan masalah pengurusan pihak terbabit.
Baca: “Terbaik sepanjang zaman!” – 7 Atlet Malaysia ‘Lejen’ Yang Mencipta Sejarah!