Sindiket Ah Long di Malaysia ini sudah menjadi seperti kebiasaan apabila kita melihat ramai orang di luar sana yang sudah terjerat dalam sindiket tak berhati perut ini.
Dengan tekanan ekonomi yang agak kritikal ini sudah tentu ada antara kita yang terdesak dan sangat memerlukan wang secara pantas demi melangsaikan apa-apa hutang dan mungkin untuk meneruskan kehidupan seperti membeli barang keperluan.
Namun, Ah Long ini seakan mengambil kesempatan atas kesempitan orang dengan mengenakan caj bunga yang tidak masuk akal dan menyebabkan peminjam ini terjerat dan sanggup melakukan apa sahaja agar kehidupannya tidak diganggu oleh golongan mereka.
Peminjam ambil upah simbah cat sebab tak mampu bayar hutang
Seperti baru-baru ini, pihak polis telah menahan dua lelaki yang dipercayai merupakan antara ahli sindiket ‘Ah Long Siber’ yang melakukan khianat dengan menyimbah cat, merantai pagar dan menampal notis ugutan terhadap mangsa yang gagal membayar pinjaman.
Menurut Sinar Harian, dua lelaki berusia dalam lingkungan 38 dan 41 tahun itu telah ditahan dalam Ops Vulture di Taman Sri Tandop, Alor Setar pada Ahad lalu. Menurut laporan juga, mereka berdua ditahan oleh pasukan risikan polis antara jam 3.30 petang hingga 6.30 petang.
“Pasukan risikan melihat sebuah kereta jenis Perodua Axia warna biru gelap dalam keadaan mencurigakan.”
“Kedua-dua suspek merupakan peminjam kepada ‘Ah Long Siber’ yang gagal membuat bayaran sebelum ditawarkan melakukan beberapa kerja dengan bayaran upah mengikut pakej.”
Difahamkan juga kedua-dua lelaki tersebut dibayar RM350 untuk perbuatan menyimbah cat manakala RM150 untuk perbuatan merantai pagar dan RM50 untuk menampal notis ugutan mengikut pakej tertentu.
Bermula terjerat dari aplikasi Whatsapp
Dua lelaki itu memberitahu bahawa dia hanya berurusan dengan sindiket utama itu melalui aplikasi Whatsapp dan tidak pernah berjumpa walaupun sekali dan hanya perlu mengambil gambar dan video sebagai bukti kerja dibuat.
Menurut pelaku juga, sindiket ‘Ah Long Siber’ itu merupakan entiti pinjaman yang diiklankan di Facebook dengan berniat untuk melakukan pemerasan dan ugutan.
“Kira-kira 50 peratus wang yang hendak dipinjam akan dipindahkan ke akaun mangsa sama ada mangsa bersetuju ataupun tidak.”
“Selepas itu, peminjam dipaksa membuat bayaran lebih empat kali ganda daripada jumlah pinjaman mengikut tempoh yang diberikan, dan jika peminjam gagal membuat bayaran, maka ‘Ah Long Siber’ akan mengupah orang untuk menampal notis ugutan, merantai pagar dan membaling cat,” katanya.”
Polis juga telah bertindak merampas dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Axia, empat sampul surat berwarna coklat, satu surat bertulis kata-kata amaran dengan pen merah, pen permanent hitam, satu topi celoreng dan satu kasut jenis canvas berwarna merah dalam operasi itu.
“kes disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 kerana menjalankan aktiviti pemberi pinjaman tanpa lesen dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan bagi melakukan khianat.”
kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine turut disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Bagi min, apa-apa masalah jangan berhubung dengan sindiket ini kerana kelak takut menyusahkan diri kita sendiri. Betul tak?