Semakin hari, semakin kerap kita dengar orang sekeliling buat pembedahan bariatrik untuk menurunkan berat badan.
Tapi sebenarnya, ketaksuban terhadap tubuh badan bukanlah perkara yang baru. Dari dulu lagi, ramai orang cuba macam-macam cara untuk kuruskan badan, contohnya seperti diet yang melampau, amalkan produk kurus dan senaman yang ekstrem.
Nak kurus tu bukanlah sesuatu yang salah, sebab siapa je yang tak nak kurus, kan? Lebih-lebih lagi, bada yang kurus ni juga sering dikaitkan dengan penampilan yang lebih menarik serta memiliki tahap kesihatan yang lebih baik.
Namun sekarang muncul trend terbaharu iaitu pembedahan bariatrik. Asalnya, prosedur ni memang diwujudkan bagi membantu mereka yang benar-benar obes dan berdepan dengan penyakit serius, tapi sukar untuk menurunkan berat dengan cara biasa.
Masalahnya, bila ia mula dipromosikan secara terbuka oleh artis, pempengaruh dan juga ahli politik, makin ramai pula yang terpengaruh dan mula melihat bariatrik sebagai jalan singkat untuk dapatkan bentuk badan idaman mereka.
Hakikatnya, bariatrik bukanlah pembedahan untuk kurus semata-mata dan bukan semua orang sesuai menjalani pembedahan ini. Setiap pembedahan datang dengan risiko dan kesan yang perlu difahami terlebih dahulu.
Jadi, kalau korang nak tahu boleh buat bariatrik atau tidak, jom baca artikel bawah ni.
Pembedahan bariatrik
Pembedahan bariatrik ialah rawatan perubatan berbentuk pembedahan yang membantu pesakit menurunkan berat badan dengan cara mengubah struktur dan fungsi sistem pencernaan.
Biasanya, pembedahan bariatrik ni disyorkan kepada individu yang mengalami obesiti tahap serius iaitu BMI melebihi 35-40 serta gagal menurunkan berat badan melalui kaedah biasa seperti diet atau senaman sahaja.
Selain menurunkan berat badan, pembedahan ini juga berpotensi merawat masalah kesihatan lain yang sering berkait dengan obesiti, antaranya diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi dan sleep apnea.
Prosedur ini hanya dilakukan oleh pakar bedah bariatrik bertauliah dengan sokongan pasukan perubatan yang terdiri daripada doktor, pakar diet serta kaunselor, kerana ia melibatkan perubahan besar terhadap sistem pencernaan dan gaya hidup pesakit selepas pembedahan.
Artikel Berkaitan: “Doktor suruh baca Yasin, jantung mama berhenti 8 kali” – Ameng Spring Kongsi Detik Cemas A. Aida Masuk Icu – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: Pernah Tular Jual Buah Pinggang Demi iPhone 4, Lelaki Kini Berstatus OKU & Menderita Masalah Kesihatan – Lobak Merah
Jenis-jenis pembedahan bariatrik
Pembedahan bariatrik pun ada beberapa jenis prosedur juga tau!
1. Sleeve Gastrectomy (Gastrik Lengan)
Sleeve Gastrectomy adalah prosedur yang melibatkan penyingkiran sebahagian besar perut, menjadikannya lebih kecil seperti bentuk lengan, di samping mengurangkan kapasiti makan dan hormon ghrelin (hormon lapar). Jadi bila perut dah kecil, hormon lapar berkurangan, hasilnya rasa lapar yang berkurangan boleh menyebabkan berat badan menurun dengan mudah.
Prosedur ini lebih sesuai untuk pesakit obesiti dengan BMI tinggi, khususnya mereka yang sering gagal dalam menurunkan berat badan melalui diet dan senaman. Prosedur ini mengecilkan saiz perut supaya pesakit cepat kenyang dan kurang makan.
2. Gastric Bypass (Bypass Perut)
Gastric Bypass pula adalah prosedur membuatkan perut jadi lebih kecil dengan membahagikan sebahagiannya kepada satu kantung kecil. Kantung ni kemudian disambungkan terus ke usus kecil. Bila makanan masuk, ia terus pergi ke usus tanpa melalui keseluruhan perut, tapi jumlah kalori dan nutrien yang diserap pun jadi lebih sedikit.
Biasanya prosedur ini disyorkan kepada pesakit dengan BMI lebih tinggi lagi atau ada masalah kesihatan kronik seperti diabetes jenis 2 yang sukar dikawal. Bypass sangat membantu dalam mengurangkan jumlah makanan, tetapi ia juga boleh mengurangkan penyerapan kalori dan nutrien.
3. Mini Gastric Bypass
Pembedahan ini pula merupakan versi ringkas dan lebih cepat dari gastric bypass konvensional, tetapi masih memberikan hasil yang sangat baik dari segi penurunan berat badan.
4. Endoscopic Sleeve Gastroplasty (ESG)
ESG adalah prosedur yang tidak melibatkan pembedahan terbuka. Doktor akan menggunakan tiub khas yang dipanggil endoskop untuk masuk ke dalam perut melalui mulut sampai ke perut. Alat di hujung endoskop yang akan jahit dinding perut dari dalam sehingga bentuk perut menjadi lebih sempit.
Proses ESG adalah proses yang lebih moden dan masa pemulihan pun lebih cepat, jadi ianya lebih sesuai bagi pesakit yang tidak memerlukan pembedahan besar.
Siapa sebenarnya yang layak buat?
Walaupun nampak semakin popular, tapi sebenarnya tak semua orang sesuai menjalani pembedahan bariatrik. Prosedur ini dikhaskan untuk sesetengah individu sahaja kerana ia melibatkan perubahan besar terhadap tubuh dan gaya hidup pesakit.
Antara kriteria umum yang biasanya digunakan pakar untuk menentukan kelayakan:
- Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 40
- BMI kurang daripada 35 yang menghadapi masalah kesihatan berkaitan obesiti seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi atau sleep apnea
- Gagal menurunkan berat badan melalui cara konservatif seperti diet, senaman atau ubat-ubatan
- Berumur antara 18-65 tahun, bergantung kepada penilaian pakar
Terdapat juga sesetengah kes di mana doktor menyarankan pesakit gastrik yang kronik untuk menjalani pembedahan bariatrik sebagai rawatan jangka panjang.
Menurut Bariatic Surgery Malaysia, obesiti boleh meningkatkan risiko gastrik, refluks asid (GERD) dan ulser perut kerana tekanan intra-abdominal yang tinggi.
Pembedahan bariatrik boleh bantu mengurangkan tekanan pada perut, jadi secara tidak langsung boleh mengurangkan simptom pedih ulu hati. Melalui pembedahan bariatik, saiz perut pesakit juga akan mengecil, di mana pesakit meskipun makan dalam kuantiti yang kecil, tetapi masih boleh kenyang, menyebabkan risiko gastrik berulang berkurangan.
Cumanya bagi kes seperti ini, doktor akan menilai kepada kualiti hidup dan kompilasi gastrik individu tersebut berbanding berat badan mereka.
Jadi secara keseluruhannya, pesakit gastrik yang kronik juga berkemungkinan disarankan oleh doktor untuk membuat pembedahan bariatrik demi kualiti hidup yang lebih baik dalam jangka masa yang panjang.
Tapi, apa pula risikonya?
Walaupun pembedahan ni pada asasnya memang untuk meningkatkan kualiti hidup, tapi ia juga boleh mendatangkan pelbagai risiko sama seperti pembedahan besar yang lain. Setiap pesakit perlu memahami kemungkinan komplikasi yang bakal dihadapi sebelum membuat keputusan untuk menjalani prosedur ini.
Salah satu risiko paling serius ialah apabila sambungan baru antara perut dan usus tidak sembuh dengan baik sehinggakan berlakunya kebocoran atau dipanggil sebagai Anastomotic Leak. Sekiranya berlaku, kandungan perut boleh masuk ke rongga perut dan menyebabkan jangkitan teruk seperti peritonitis yang boleh mengancam nyawa.
Seterusnya, pembedahan bariatrik boleh menyebabkan risiko pembekuan darah berlaku. Pesakit obes memang sedia ada berisiko tinggi untuk pembekuan darah, dan pembedahan menambah lagi faktor risiko. Paling membimbangkan adalah sekiranya darah beku bergerak ke paru-paru, ia boleh menyebabkan kematian.
Selain itu, antara risiko yang paling merisaukan adalah disebabkan perut menjadi lebih kecil, badan tidak lagi menyerap nutrien dengan sempurna. Individu yang telah menjalani pembedahan bariatrik tidak lagi akan mempunyai nikmat selera makan sama seperti orang biasa, membuatkan seseorang itu kurang menerima zat besi, vitamin B12, kalsium dan vitamin D.
Pesakit juga mungkin kerap mengalami sakit perut berpanjangan, cirit-birit dan perut kembung. Bagi prosedur jenis sleeve gastrectomy pula, risiko ini lebih tinggi kerana saiz perut yang semakin sempit boleh meningkatkan masalah GERD, yang akhirnya menyebabkan refluks asid menjadi semakin teruk.
Hakikatnya, orang akan fikir masalah akan selesai bila badan sudah kurus. Namun, perubahan mendadak pada bentuk badan boleh mencetuskan rasa tidak selesa dengan imej tubuh baru. Ada juga pesakit yang berdepan dengan kemurungan selepas membuat pendedahan kerana tidak biasa dengan rupa tubuh barunya.
Memang tak dapat dinafikan pembedahan bariatrik lebih berkesan berbanding usaha kurus secara semula jadi. Namun, ia datang dengan risiko jangka panjang. Sedangkan jika kurus secara semula jadi, risiko hampir tiada asalkan dilakukan dengan cara yang sihat.
Jadi kalau ikutkan, sebenarnya tiada jawapan yang tepat bagi persoalan patut atau tidak untuk semua orang. Pemilihan antara bariatrik atau kurus semula jadi ni memang kena bergantung pada tahap obesiti, kemampuan kewangan dan masa serta komitmen korang dalam merealisasikan gaya hidup sihat.
Kalau korang sudah cuba cara semula jadi selama bertahun-tahun tapi susah juga untuk menurunkan berat badan, ditambah pula ada komplikasi kesihatan, mungkin pembedahan bariatik adalah pilihan yang terbaik.
Tapi, korang kena faham bahawa rawatan ini datang dengan risiko yang berpanjangan sepanjang hayat. Jangan disebabkan trend semata-mata tanpa ilmu dan pertimbangan yang betul.
Sumber: Bariatric Surgery Malaysia