Teka teki mengenai pembubaran Parlimen yang akan berlaku dalam masa terdekat akhirnya telah terjawab apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman mengenainya dalam Perutusan Khas jam 4 petang semalam.
Perkara ini sekaligus mencipta sejarah baru dalam dunia politik Malaysia apabila belum pun cukup satu penggal atau kurang 5 tahun dari Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pentadbiran kerajaan Persekutuan telah bertukar sebanyak 3 kali.
Ismail Sabri PM paling singkat
Menurut Utusan Malaysia, hal ini juga menjadikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah Malaysia iaitu mentadbir selama 14 bulan dan memecah rekod Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mentadbir selama 17 bulan.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi PM ke-4 telah mentadbir selama 22 bulan iaitu tempoh terpanjang di antara ketiga-tiga PM tersebut dalam penggal PRU14 ini.
Parlimen Penggal ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan Kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama.
“Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi,” kata Ismail Sabri dalam perutusan semalam, lapor Bernama.
Memetik kata-kata Ismail Sabri dalam satu wawancara bersama Malaysiakini pada Ogos lepas, beliau tidak kisah dengan tempoh pemerintahan yang pendek atau panjang, namun apa yang penting adalah kejayaan yang dicapai dalam tempoh tersebut.
Bagi saya, pendek atau panjang tu tak penting.
“Panjang 20 tahun pun kalau tak memberi faedah kepada rakyat dan kerajaan pun tak ada makna.
“Pendek tetapi penuh dengan kejayaan adalah jauh lebih baik berbanding lama berkhidmat namun tak ada sebarang kejayaan,” katanya.
https://www.instagram.com/p/CjhvusEpc-v/
Apa-apapun sejarah yang dicipta sepanjang penggal ini bakal membuka mata rakyat Malaysia dalam menilai dan memilih siapakah yang akan diundi mereka pada PRU15 ini.
Selamat berkempen dan jangan lupa tanggungjawab anda untuk turun mengundi nanti.
Baca: [TERKINI] PM Umum Parlimen Bubar Berkuatkuasa Hari Ini