Sedihnya hati si ibu…
Seorang budak perempuan berusia enam tahun dilaporkan maut dipercayai akibat tersepit di celah besi meja lipat di rumah sewanya dekat Taman Seri Putra, Nibong Tebal, petang semalam.
Insiden berkenaan dikatakan berlaku kira-kira jam 4 petang ketika kanak-kanak terbabit sedang bermain seorang diri di bahagian belakang rumah itu.
Difahamkan ketika kejadian, ibu, kakak dan abang mangsa yang berusia sembilan dan 10 tahun berada di dalam rumah.
Mereka kemudian hanya menyedari kejadian yang menimpa anak bongsu itu selepas tidak mendengar sebarang bunyi sebelum keluar untuk memeriksa mangsa yang sudah tidak sedarkan diri.
Mereka kemudian mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital, namun malangnya kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak. Allahu…
Artikel berkaitan: “Rasa terpukul” – Netizen Sebak 2 Kanak-Kanak Maut Makan Sisa Makanan Dalam Tong Sampah
Artikel berkaitan: Dua Kanak-Kanak Maut Terperangkap Dalam Teksi Usang, Pengakhiran Yang Tragis
“Suka sangat main secara ekstrem, bahayakan diri”
Ibu mangsa, Riana Fitriasih Kusnan, 38, seorang warga Indonesia mendedahkan bahawa anaknya, Nur Aqifah Humaira Abdullah, 6, suka bermain secara ekstrem dan membahayakan diri sendiri walaupun sudah berkali-kali dia melarangnya.
Anak bongsu saya itu suka sangat main secara ekstrem, bahayakan diri meskipun beratus kali dilarang tapi dia tetap mahu mencuba sehingga kejadian hari ini (semalam) yang meragut nyawanya,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Riana yang juga seorang ibu tunggal berkata, anak bongsunya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kehilangannya amat dirasai memandangkan keberadaannya menceriakan suasana rumah.
Suami telah meninggal dunia dan kami empat beranak tinggal di sini sejak dua bulan lalu…setiap hari mesti ada saja celoteh anak bongsu yang mana adakalanya membuatkan saya marah kerana kelakuannya itu membahayakan diri.
“Malah sebagai tukang cuci rumah sambilan saya tidak pernah tinggalkan dia sendiri kerana takut sesuatu menimpa disebabkan tindakannya yang suka mencuba sesuatu yang ekstrem.
“Saya reda dengan kehilangannya namun tidak sangka tindakannya yang sering saya larang itu meragut nyawanya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad telah mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Jenazah kanak-kanak itu difahamkan bakal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Mahat sebaik proses bedah siasat selesai. Al Fatihah…
Sumber: Harian Metro, Malaysia Gazette