Setelah bertahun-tahun lamanya ditinggalkan dan hampir menjadi spot paranormal, Movie Animation Theme Park atau MAPS, Ipoh kini katanya bakal dilelong.
Ia berikutan tularnya satu keratan akhbar yang memaparkan notis jualan taman tema tersebut yang dianggarkan bernilai RM520 juta.
https://www.facebook.com/1623967267835052/posts/3261415154090247/?d=n
Menerusi keratan akhbar tersebut, firma Ernst & Young telah dilantik untuk menguruskan notis penutupan dan mengeluarkan iklan dalam akhbar harian tempatan baru-baru ini.
Iklan tersebut juga menyatakan bahawa penjualan itu membabitkan taman tema animasi ‘dalam keadaan sedia ada’.
Ini bermaksud penjualan itu melibatkan aset-aset seperti harta dan bangunan, loji dan jentera yang merangkumi pelbagai mesin dan peralatan taman tema termasuk operasi gerai makan serta minuman dan perabot serta peralatan pejabat.
“Harap Ikea beli tanah tu”
Rata-rata netizen yang membaca posting berkenaan ternyata kecewa kerana merasakan MAPS mempunyai potensi yang baik untuk menjadi taman tema yang berjaya namun akhirnya gagal.
Pun begitu, ada juga yang berharap pihak seperti Ikea akan membeli tanah berkenaan kerana mengimpikan pusat beli belah itu berada di Perak.
Dibina di atas tanah seluas 52 ekar, taman tema yang terletak berhampiran Perak Techno Trade Centre di Bandar Meru Jaya ini merupakan tarikan terbesar di Perak sebelum bilangan pelawat mula menurun dan perubahan waktu operasi yang mengelirukan pengunjung.
MAPS akhirnya menghentikan operasi pada Januari tahun lalu akibat masalah kewangan dan tiada tempoh yang ditetapkan bagi penutupan tersebut. Hartanah ini katanya dijangka dapat dijual pada 1 April 2022 seperti yang dinyatakan di dalam iklan.
Kini MAPS hanya tinggal kenangan…